
HOUSTON, Amerika Syarikat: Kanada muncul pasukan tuan rumah bersama pertama yang tersingkir daripada Piala Dunia selepas tewas 0-3 kepada Maghribi yang tampil lebih berkesan dalam aksi pusingan 16 terbaik di Houston, sebentar tadi.
Maghribi, yang muncul separuh akhir Piala Dunia 2022, akan berdepan pilihan utama kejohanan, Perancis atau Paraguay, dalam saingan suku akhir ketika kejohanan di Amerika Utara memasuki fasa penentuan.
Selepas babak pertama menyaksikan lebih banyak kad kuning berbanding percubaan tepat ke gawang, pemain tengah Azzedine Ounahi membuka jaringan pada minit ke-50.
Kanada yang beraksi dalam perlawanan terbesar dalam sejarah bola sepak negara itu berusaha mencari gol penyamaan, namun Ounahi menjaringkan gol kedua peribadinya untuk mematahkan kebangkitan anak buah Jesse Marsch.

Pemain gantian, Soufiane Rahimi, melengkapkan kemenangan Maghribi menerusi gol ketiga pada saat-saat akhir perlawanan.
Keputusan itu nyata mengecewakan Kanada yang sebenarnya mempamerkan aksi lebih baik pada babak pertama di hadapan 68,777 penonton, ketika mereka memburu satu lagi sejarah.
Kanada melangkah ke pusingan 16 terbaik selepas mencipta sejarah apabila meraih kemenangan pertama di Piala Dunia sebelum memenangi perlawanan pertama di peringkat kalah mati
Sebagai pasukan bukan pilihan, penyokong Kanada turut kalah dari segi jumlah kehadiran berbanding penyokong Maghribi di Stadium Houston yang berhawa dingin.
Namun, Kanada memulakan aksi dengan lebih yakin apabila Tani Oluwaseyi melakukan pusingan pantas dalam kotak penalti sebelum memaksa penjaga gol Maghribi kelahiran Montreal, Yassine Bounou, menyelamatkan keadaan menggunakan kaki pada minit ke-10.
Menerusi sepakan penjuru keempat Kanada pada babak pertama, pertahanan Alistair Johnston gagal memanfaatkan peluang tandukan percuma, ketika Maghribi dilihat mula goyah.

Pada minit ke-20, skuad kendalian Mohamed Ouahbi menerima tamparan apabila Ismael Saibari, yang bakal menyertai Bayern Munich dan sudah menjaringkan tiga gol dalam kejohanan ini, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan sebelum digantikan Rahimi.
Sejurus selepas rehat minum, Rahimi melakukan percubaan jarak jauh yang menghasilkan percubaan tepat pertama Maghribi ke arah gawang.
Menjelang tamat babak pertama, berlaku sedikit ketegangan apabila kapten Maghribi, Achraf Hakimi, dan pertahanan Kanada, Richie Laryea, bertolak-tolakan sebelum kedua-duanya dilayangkan kad kuning.
Pengadil Michael Oliver melayangkan enam kad kuning, termasuk empat kepada pemain Maghribi, dalam babak pertama yang dipenuhi kekasaran kecil tetapi kurang menyajikan aksi menarik di depan pintu gol.
Suasana menjelang perlawanan terakhir daripada tujuh aksi Piala Dunia yang berlangsung di Houston, ketika Amerika Syarikat menyambut ulang tahun ke-250 penubuhannya, menjadi antara tarikan utama sebelum aksi sebenar bermula.
Maghribi, yang turut menewaskan Kanada pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2022, tampil jauh lebih bertenaga sebaik babak kedua bermula.
Lima minit selepas sepak mula semula, Hakimi melakukan hantaran rendah daripada sepakan percuma kepada Ounahi yang tidak dikawal di luar kotak penalti sebelum pemain itu menyudahkan peluang dengan rembatan kaki kanan.

Penjaga gol Kanada, Maxime Crepeau, gagal melihat bola dengan jelas kerana dihalang dua rakan sepasukannya, selain bola turut melepasi celah kaki Rahimi.
Pada minit ke-82, Ounahi sekali lagi berada di posisi terbaik untuk menyempurnakan serangan balas pantas menerusi rembatan kaki kanan bagi gol keduanya.
Rahimi kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Maghribi dengan gol ketiga pada minit ke-98. — AFP