KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan dadah terhadap kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines serta akan melaksanakan pemeriksaan lebih ketat ke atas semua juruterbang aktif sebagai langkah memperkukuh keselamatan operasi penerbangan.
Syarikat induk Malaysia Airlines Bhd itu memulakan proses saringan terhadap juruterbang di bawah kumpulan penerbangannya, yang dijangka selesai pada 15 Ogos, 2026.
“Juruterbang yang gagal melengkapkan saringan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga mereka disahkan bebas daripada sebarang isu berkaitan, selaras dengan prosedur MAG serta keperluan kawal selia,” menurut kenyataan MAG hari ini.
Selain itu, MAG memaklumkan saringan dadah mandatori akan dilaksanakan terhadap semua juruterbang aktif sebagai tambahan kepada program ujian rawak sedia ada, sebelum diperluaskan kepada kru kabin aktif.
“Langkah pantas ini mencerminkan tahap keprihatinan tinggi MAG terhadap insiden terbaharu melibatkan penahanan seorang juruterbangnya, selain menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku,” menurutnya.
Pada 29 Julai, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.
Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
MAG mengesahkan individu berkenaan merupakan pegawai kedua yang berada di tempat duduk pemerhati kokpit (cockpit jump seat) dan bukan juruterbang yang mengendalikan penerbangan tersebut.
“Individu berkenaan juga tidak bertugas selama dua hari sebelum kejadian itu. Pesawat terbabit dikendalikan dengan selamat pada setiap masa oleh dua juruterbang operasi yang bertauliah,” katanya.
MAG menyifatkan tindakan individu berkenaan sebagai tidak boleh diterima sama sekali kerana bertentangan dengan piawaian profesional yang ditetapkan terhadap warga kerjanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, keselamatan operasi serta tahap kesiapsiagaan kru untuk bertugas merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi.
“Kami memandang serius sebarang pelanggaran terhadap piawaian keselamatan dan telah mengambil tindakan segera dengan memperkukuh saringan dadah mandatori dalam kalangan juruterbang aktif.
“Walaupun insiden terpencil ini tidak mencerminkan profesionalisme majoriti besar warga kerja kami, kami akan terus memperkukuh langkah perlindungan bagi mengekalkan keyakinan penumpang serta pihak berkepentingan,” menurutnya.
Menurut MAG, juruterbang operasi melengkapkan penilaian IMSAFER sebelum setiap penerbangan bagi menilai tahap kesiapsiagaan fizikal dan mental untuk bertugas, selain disokong prinsip Pengurusan Ancaman dan Ralat (Threat and Error Management – TEM) bagi mengenal pasti serta mengurus risiko operasi.
IMSAFER ialah senarai semak penilaian kendiri juruterbang sebelum penerbangan yang meliputi aspek penyakit (illness), ubat-ubatan (medication), tekanan (stress), alkohol (alcohol), keletihan (fatigue), emosi (emotion) dan pengalaman penerbangan terkini (recency).
MAG memaklumkan kumpulan itu akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, agensi penguatkuasaan serta badan kawal selia bagi melaksanakan cadangan penambahbaikan, memperkukuh langkah pencegahan dan memastikan pematuhan terhadap keperluan peraturan dalam operasi penerbangan.- Bernama



