MA63 mesti diterjemahkan dalam proses perundangan Persekutuan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ADUN Sentosa Wilfred Yap.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Wilfred Yap, menegaskan bahawa penghormatan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak seharusnya terhenti pada kenyataan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam proses penggubalan undang-undang di peringkat Persekutuan.

Beliau menyatakan sokongan terhadap kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Sibu baru-baru ini bahawa MA63 merupakan asas pembentukan Malaysia dan hak-hak perlembagaan Sarawak perlu terus dihormati serta dipelihara.

Menurutnya, sebarang rang undang-undang Persekutuan yang berpotensi menjejaskan hak perlembagaan, bidang kuasa perundangan atau perlindungan khas Sarawak di bawah MA63 perlu dirunding terlebih dahulu secara menyeluruh dengan kerajaan Sarawak sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Ini bukan tuntutan politik, tetapi merupakan tanggungjawab perlembagaan berdasarkan syarat-syarat pembentukan Malaysia pada 1963,” katanya.

Yap berkata rundingan menyeluruh perlu diadakan sebelum sesuatu keputusan dibuat, bukannya selepas undang-undang diluluskan, kerana pendekatan itu membolehkan isu-isu perlembagaan diselesaikan secara konstruktif, mengelakkan pertikaian undang-undang yang tidak perlu serta memperkukuh kepercayaan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.

Beliau berkata penghormatan terhadap MA63 perlu dibuktikan melalui proses perundangan, dengan rundingan yang tulen mencerminkan semangat kerjasama antara Sarawak dan Persekutuan.

Tambahnya, wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai tanggungjawab untuk meneliti setiap dasar atau undang-undang Persekutuan yang boleh memberi kesan kepada kedudukan perlembagaan Sarawak serta mempertahankan hak dan kepentingan negeri.

“Mempertahankan hak perlembagaan Sarawak tidak sepatutnya dianggap sebagai satu bentuk konfrontasi. Sebaliknya, ia merupakan pelaksanaan tanggungjawab perlembagaan serta penegasan terhadap kerangka perlembagaan yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia,” katanya.

Beliau turut berikrar untuk terus memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif serta memastikan hak Sarawak di bawah MA63 terus dihormati dalam prinsip dan pelaksanaannya.

Oleh Connie Chieng