KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan pada 19 September ini bagi membincangkan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, antara tumpuan utama perbincangan ini adalah penurunan kuasa kesihatan untuk Sarawak khasnya berkaitan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
Katanya, untuk kerajaan Sarawak sendiri mengendalikan CKAPS adalah penting, bagi memastikan kelancaran kelulusan lesen operasi yang diberikan kepada penyedia penjagaan kesihatan swasta.
“Saya ambil contoh Pusat Buah Pinggang Kuching ini, mereka menunggu tiga tahun untuk mendapatkan kelulusan. Tiga tahun ini masa yang sangat lama.
“Selama tiga tahun, tempat ini sudah bersedia, semua mesin dan kakitangan sudah bersedia, tetapi tidak dapat beroperasi kerana menunggu kelulusan CKAPS dari Kuala Lumpur.
“Kalau perkara yang paling penting, kami juga tahu cara mengendalikan perkara CKAPS ini, kalau kami tidak tahu cara mengendalikan perkara ini, macam mana kami boleh mempunyai pusat jantung yang lebih terkenal dari yang ada di Semenanjung?,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Pihak Pusat Buah Pinggang Kuching sudah menghantar permohonan sejak 2021 dan hanya mendapat kelulusan pada Julai tahun ini.
Dalam pada itu, Dr Sim juga menyatakan bahawa negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya 50 mesin hemodialisis baharu setiap tahun bagi menampung jumlah pesakit yang kian bertambah.
Katanya, kira-kira 300 pesakit buah pinggang dikenal pasti setiap tahun dan satu unit mesin hemodialisis mampu menampung enam pesakit.
“Sebab itulah isu CKAPS ini penting ditangani, kita memerlukan pusat seperti ini beroperasi secepat mungkin kerana setiap tahun bilangan pesakit bertambah.
“Kita tidak boleh hanya menunggu mereka meluluskannya, seperti pusat ini, menunggu sehingga tiga tahun sebelum boleh beroperasi,”jelasnya.
Pusat Buah Pinggang Kuching ini terletak di Lot 5772, Block 10 Matang Land District 105, Genesis Light Industrial Park, Jalan Batu Kawa-Matang.
Pusat ini memiliki enam mesin hemodialisis, dan mampu menampung 36 pesakit dalam tiga syif.
Oleh SHAHRUL QAIZAT