Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Lumba haram: Lesen boleh dibatal, cadangan Ahli Parlimen
  • SEMASA

Lumba haram: Lesen boleh dibatal, cadangan Ahli Parlimen

Utusan Sarawak 2 hours ago
GAMBAR hiasan. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen hari ini mengemukakan pelbagai cadangan bagi memperkukuh usaha membanteras lumba haram, termasuk pelaksanaan program khas pemulihan, pembatalan lesen memandu serta tindakan lebih tegas berkaitan pengubahsuaian motosikal.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, Khairil Nizam Khirudin dari Perikatan Nasional (PN) Jerantut kerajaan melaksanakan program khas pemulihan merangkumi aspek disiplin serta khidmat masyarakat sebagai tambahan kepada hukuman sedia ada bagi memberi pengajaran kepada pesalah.

Beliau juga menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap bengkel yang melakukan pengubahsuaian motosikal sehingga membolehkan kenderaan itu digunakan untuk perlumbaan haram di jalan raya.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) boleh bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta mempertimbangkan penggunaan peruntukan di bawah Seksyen 66 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menggubal kaedah atau peraturan baharu agar tindakan boleh diambil terhadap bengkel yang terlibat dalam pengubahsuaian motosikal secara tidak sah untuk lumba haram,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya ibu bapa kepada individu yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan akauntabiliti institusi keluarga dalam menangani gejala berkenaan. 

Sementara itu, Datuk Willie Mongin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) Puncak Borneo pula mencadangkan agar hukuman tegas pembatalan lesen memandu secara kekal terhadap pesalah lumba haram sebagai tambahan kepada hukuman denda dan penjara yang diperuntukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) itu.

“Saya mencadangkan supaya denda minimum RM300,000 atau penjara lima tahun dan lesen memandu pesalah ini haruslah dibatalkan selama-lamanya. Kita kena tunjukkan bahawa kerajaan kita serius,” katanya.

Wan Razali Wan Nor dari PN Kuantan menggesa peruntukan Seksyen 42A hendaklah terpakai kepada semua aktiviti lumba haram merangkumi semua jenis kenderaan termasuk kenderaan berkuasa tinggi.

Beliau turut merujuk insiden kemalangan di Simpang Renggam, Johor pada 1 Jun lepas yang melibatkan kenderaan mewah dan meragut beberapa nyawa, sebagai bukti kesan serius perlumbaan haram.

“Tragedi ini menunjukkan perlumbaan haram bukan hanya melibatkan motosikal, tetapi juga kereta yang boleh membawa kesan yang sangat dahsyat malah lebih tragik kepada masyarakat,” katanya.

Shaharizukirnain Abd Kadir dari PN Setiu mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelupusan motosikal yang diubah suai secara ekstrem sebagai langkah lebih tegas membanteras kegiatan lumba haram.

Peruntukan baharu bagi kesalahan lumbah haram itu turut disentuh beberapa Ahli Parlimen lain termasuk Syerleena Abdul Rashid dari Pakatan Harapan (PH) Bukit Bendera, Young Syefura Othman dari PH Bentong dan Mohd Nazri Abu Hassan dari PN Merbok.

Selain isu lumba haram, Ahli Parlimen turut menggesa kerajaan memperkukuh peruntukan berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, termasuk mewujudkan mekanisme ganti rugi kos hospital dan kebajikan kepada mangsa.

Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik menyarankan agar skop pindaan terhadap Seksyen 44 dan Seksyen 45A hingga 45C Akta Pengangkutan Jalan 1987 diperkuat bagi memberikan keadilan sewajarnya kepada mangsa kemalangan akibat individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Beliau mengesyorkan agar satu bentuk mekanisme ganti rugi kos hospital dan kebajikan mangsa dapat diwujudkan, selari dengan hasrat yang pernah dinyatakan oleh MOT sebelum ini bagi memastikan pesalah mabuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap impak fizikal kepada mangsa.

Pandangan itu disokong Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dari PN Maran yang mengharapkan penguatkuasaan sedia ada diperkemas lagi bagi menangani insiden kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Sebanyak 24 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyertai sesi perbahasan RUU itu hari ini. Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu bukti integriti kewangan Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.