
PARIS: Lukisan landskap oleh pelukis Perancis Claude Monet yang baru ditemukan semula terjual pada harga AS$12 juta dalam satu lelongan di Perancis, menurut rumah lelong Sotheby’s hari ini, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Lukisan minyak bertajuk ‘Vetheuil, effet du matin’ yang disiapkan pada 1901 itu sebelum ini dianggarkan bernilai antara AS$7.1 juta hingga AS$9.4 juta, menurut katalog lelongan.
Sotheby’s berkata keputusan itu mencatat harga rekod bagi karya Monet yang dijual di Perancis.
Karya itu menonjolkan perkembangan penting dalam gerakan Impresionisme, khususnya gambaran cahaya semula jadi yang dipantulkan pada permukaan air, menurut rumah lelong itu.

Sebuah lagi lukisan Monet, ‘Les iles de Port-Villez’ dari 1883, terjual pada harga AS$7.60 juta, melebihi anggaran antara AS$3.54 juta hingga AS$5.89 juta.
Kedua-dua lukisan itu berada dalam koleksi persendirian selama kira-kira satu abad dan menggambarkan kawasan sepanjang Sungai Seine berhampiran Giverny, tempat tinggal Monet.
Rekod global lelongan bagi karya Monet kekal pada AS$110.7 juta, dicatat oleh ‘Meules’ apabila ia dijual di New York pada 2019, menurut laporan media.
-Bernama