
KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini kini diiktiraf sebagai lapangan terbang domestik paling moden dan cantik di negara ketika ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata status itu berikutan projek naik taraf fasa pertama LTSIP ialah projek terbaharu disiapkan kerajaan berbanding lapangan terbang lain yang masih dalam proses penaiktarafan.
“Jadi setakat ini, LTSIP ialah lapangan terbang domestik paling moden dan cantik di seluruh negara.
“Sudah tentu kita harapkan lapangan terbang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan dan kerjasama ini dapat memanfaatkan rakyat serta negara secara berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian terminal baharu LTSIP di sini hari ini.
Loke juga merakamkan penghargaan kepada warga kerja Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Kerajaan Negeri Kelantan, kontraktor dan semua pihak terlibat menjayakan projek itu.
Loke berkata komitmen, dedikasi dan kerjasama erat semua pihak faktor utama kejayaan pelaksanaan projek infrastruktur yang menjadi kebanggaan rakyat Kelantan itu.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi anekdot menarik dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dalam penerbangan berhubung rekaan bangunan terminal baharu itu.
Beliau berkata terdapat reka bentuk tertentu di dalam lapangan terbang itu bukan sebahagian daripada perancangan asal rekaan teknikal, sebaliknya terhasil secara tidak sengaja yang akhirnya digunakan sepenuhnya untuk memastikan reka bentuknya kelihatan cantik.
“Saya yakin apa yang telah kita laksanakan dapat memberikan wajah baharu kepada lapangan terbang ini, sekali gus menyumbang imej yang positif bukan sahaja kepada Kelantan tetapi juga kepada negara secara keseluruhannya,” katanya.
LTSIP dilengkapi lebih 20 kaunter penerbangan, kemudahan parkir bertingkat, laluan khas pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang parkir pesawat serta sistem operasi tanpa tunai bagi meningkatkan kecekapan dan keselesaan penumpang.
Lapangan terbang itu dijangka mampu menampung hingga empat juta penumpang setahun berbanding kapasiti 1.5 juta sebelum ini.
Selain peningkatan kapasiti, terminal turut diperluas daripada 12,000 kepada 36,000 meter persegi dengan susun atur baharu yang memisahkan balai berlepas di tingkat atas dan ruang ketibaan di tingkat bawah bagi mengurangkan kesesakan.
Jumlah parkir pesawat juga ditambah kepada 11 berbanding lima sebelum ini, manakala ruang letak kenderaan menyediakan kira-kira 1,300 lot berbanding hanya 350 lot sebelum proses naik taraf dilaksanakan.
Kemudahan itu dijangka memudahkan urusan penghantaran dan pengambilan penumpang, khususnya ketika musim puncak seperti semasa Aidilfitri. – Bernama