
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bersama Midin Media menganjurkan program ‘Love Blooms’ sempena sambutan Chap Goh Mei pada 11 hingga 14 Februari ini.
Acara ini akan berlangsung di Taman Persahabatan Malaysia-China, bermula 5.00 petang hingga 9.00 malam.
Menurut Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, program ini penting dalam memupuk perpaduan dan mengekalkan warisan budaya dalam masyarakat majmuk.
“Chap Goh Mei sering dianggap sebagai Hari Valentine (Hari Memperingati Kekasih) masyarakat Cina, melambangkan cinta, permulaan baharu dan kebersamaan keluarga.
“Oleh itu, penganjuran ‘Love Blooms’ diharapkan dapat mewujudkan suasana meriah yang mana orang ramai berpeluang meraikan, berhubung serta menghargai warisan budaya bersama,” katanya ketika sidang media di MBKS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sepanjang empat hari berlangsungnya acara ini, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang mencerminkan semangat Chap Goh Mei.
Antara aktiviti utama ialah tradisi membuang limau mandarin ke dalam tasik sebagai simbolik mencari jodoh, yang mana golongan bujang berpeluang menulis nama serta harapan mereka sebelum melemparkan limau tersebut ke dalam air.
Selain itu, turut diadakan sesi khas bagi membantu individu yang masih mencari pasangan untuk berkenalan dalam suasana santai dan menyeronokkan.
Sementara itu, persembahan kebudayaan seperti tarian singa dan naga serta orkestra Cina akan dipersembahkan, manakala pertunjukan bunga api akan menjadi simbolik penutupan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).
Pada masa sama, Wee turut merakamkan penghargaan kepada Chagee, selaku penaja utama acara ini, atas sokongan mereka dalam memastikan program tersebut dapat berlangsung dengan jayanya.
Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada Persatuan Foochow Kuching, kerana menaja 300 angpau untuk kanak-kanak pada 12 Februari 2025 bagi menyemarakkan lagi kemeriahan perayaan dan membawa kegembiraan kepada generasi muda.
Pada majlis sama, Wee mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyertai sambutan istimewa ini.
“Love Blooms menawarkan sesuatu yang menarik untuk semua orang, sama ada untuk mencari cinta, menghabiskan masa bersama keluarga, atau sekadar menikmati persembahan kebudayaan,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal