KUALA LUMPUR: Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dalam kempen ‘Jadikan Halal Pilihan Pertama Anda’ untuk meningkatkan kebolehpasaran produk halal buatan tempatan, yang berlangsung sepanjang April hingga Julai.
Kempen tersebut, yang merupakan program di bawah Inisiatif Bajet 2022, menampilkan 389 barangan runcit makanan dan bukan makanan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan yang diperakui halal di semua 64 kedai Lotus’s Malaysia di seluruh negara.
Presiden Lotus’s Malaysia Kenneth Chuah berkata, kempen itu bertujuan menimbulkan minat dan kepercayaan pengguna terhadap produk tempatan yang berkualiti dan mampu milik serta diperakui halal.
“Kualiti dan mampu milik telah menjadi faktor utama yang mempengaruhi pembelian dalam persekitaran runcit dinamik ini yang banyak bergantung kepada pilihan pengguna,” tambahnya.
Chuah berkata demikan kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu bersama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari di Lotus’s Ampang di sini, semalam.
Chuah berkata, 90 peratus daripada lebih 3,000 produk Lotus’s Own Brand diperoleh dan dikeluarkan oleh syarikat tempatan dan ini menunjukkan keyakinan syarikat terhadap keupayaan dan kualiti PKS tempatan.
Beliau menambah pengeluar tempatan juga perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan keupayaan yang betul kerana ia penting dalam menghasilkan produk berkualiti dan harga yang kompetitif.
“Adalah penting untuk mereka berbuat demikian dalam membantu membina semula dan mengekalkan perniagaan selepas Covid-19, manakala peruncit seperti Lotus’s Malaysia terus menjadi platform bagi PKS untuk memajukan perniagaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Hairol Ariffein berkata, kempen tersebut juga bertujuan menarik PKS menjadikan halal sebagai cadangan nilai atau nilai tambah kepada aktiviti perniagaan mereka.
“Kami berharap kempen ini dapat memupuk minda ‘halal first’ di Malaysia dan menjadikan produk halal sebagai pilihan utama dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
– Bernama