KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, disokong oleh jangkaan bahawa pelabur asing akan beralih daripada saham teknologi kepada sektor tradisional seperti kaunter perbankan, pengguna dan perladangan.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.14 mata kepada 1,732.59 daripada 1,731.45 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.20 mata kepada 1,732.65.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 157 berbanding 134 manakala 305 kaunter tidak berubah, 2,139 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 216.22 juta saham bernilai RM58.0 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa tempatan tidak sejajar dengan trend serantau selepas Wall Street ditutup rendah didorong satu lagi pusingan jualan dalam saham berkaitan semikonduktor dan kecerdasan buatan yang turut dipengaruhi oleh kenaikan mendadak harga minyak mentah susulan ketegangan meningkat antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Jualan dalam saham berkaitan teknologi meluas di rantau Asia, dengan pasaran Korea Selatan dan Taiwan, masing-masing menurun lebih daripada enam peratus manakala FBM KLCI tidak sejajar dengan trend serantau apabila ditutup tinggi dan melepasi paras 1,730,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata indeks dijangka diniagakan dalam julat 1,725 hingga 1,740 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd (Maybank) menurun empat sen kepada RM11.16, Public Bank Bhd merosot tiga sen kepada RM5.22 manakala CIMB Group Holdings Bhd dan IHH Healthcare Bhd, masing-masing tidak berubah pada RM7.82 dan RM8.50.
Tenaga Nasional Bhd meningkat lapan sen kepada RM14.38.
Bagi saham aktif, VS Industry Bhd berkurangan setengah sen kepada 22.5 sen manakala Pegasus Heights Bhd, Ingenieur Gudang Bhd, PUC Bhd, Tanco Holdings Bhd dan Aimax Bhd, masing-masing tidak berubah pada setengah sen, empat sen, empat sen, 33.5 sen dan satu sen.
Kaunter paling untung ialah Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd meningkat 29 sen kepada RM5.59, Malaysian Pacific Industries Bhd menambah 28 sen kepada RM43.48, Petronas Gas Bhd dan Petronas Chemicals Group Bhd, masing-masing naik 18 sen kepada RM17.62 dan RM4.91 serta Sarawak Oil Palms Bhd menokok 16 sen kepada RM5.19.
Kaunter paling rugi diterajui oleh APM Automotive Holdings Bhd merosot tujuh sen kepada RM2.93. MN Holdings Bhd dan Hong Leong Bank Bhd, masing-masing berkurangan empat sen kepada RM2.80 dan RM22.40 serta RHB Bank Bhd dan Cyberjaya Education Group Bhd, masing-masing menurun tiga sen kepada RM8.50 dan RM1.47.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 18.4 mata kepada 12,737.49, Indeks FBMT 100 naik 16.09 mata kepada 12,573.65 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 43.59 mata kepada 12,526.06.
Indeks FBM Mid 70 naik 56.10 mata kepada 17,831.03 manakala Indeks FBM ACE menurun 5.10 mata kepada 4,874.05.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 48.37 mata kepada 20,486.98 manakala Indeks Tenaga meningkat 9.46 mata kepada 775.74. Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.89 mata kepada 187.62 dan Indeks Perladangan menambah 14.10 mata kepada 9,497.87. – Bernama





