
BINTULU: Pemandu lori membawa muatan kayu balak rentung setelah kenderaan dipandunya terbabas dan terbakar di laluan berhampiran simpang masuk dekat Samarakan, di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Kanang Inggai, berusia lingkungan 57 tahun tersepit di bahagian kepala lori sebelum ditemui dalam keadaan rentung oleh sepasukan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.56 tengah hari dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan lokasi kejadian yang terletak kira-kira 69 kilometer dari balai berkenaan.

Katanya, tiada akses untuk jentera bomba masuk memandangkan jalan tersebut adalah jalan balak.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) terpaksa menggunakan kenderaan syarikat untuk membawa peralatan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian dan PKO mendapati benar berlakunya kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah lori dengan muatan kayu balak dan telah terbakar 100 peratus di bahagian kepala lori tersebut.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pekerja syarikat menggunakan dua alat pemadam api.
“Terdapat seorang mangsa terperangkap dan dijumpai dalam keadaan rentung,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan kayu bagi mengumpil besi pada bahagian kepala lori.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada 2.49 petang dalam keadaan rentung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan pada 4.26 petang. Oleh Liong Chai Ling