
SARIKEI: Impian membangunkan Sarikei dan Bintangor secara seiring sejak tiga dekad lalu kini direalisasikan menerusi pemilihan lokasi strategik pembinaan Jambatan Batang Rajang yang bakal menjadi pemacu utama pembangunan kedua-dua kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, pemilihan lokasi itu bukan sahaja membolehkan Sarikei dan Bintangor berkembang bersama, malah lebih efisien dan kos efektif berbanding beberapa cadangan terdahulu.
“Pada 2016, ketika itu Tok Nan, kita mencadangkan jalan ini dibangunkan di antara Sarikei dan Bintangor.
“Dengan sebab, kalau kita guna saluran hospital, bermakna Kampung Bintangor akan ‘mati’ dan tidak akan membangun.
“Dengan adanya jambatan dan jalan raya dibangunkan di antara Sarikei dan Bintangor, sekurang-kurangnya kedua-dua bandar dan pekan ini dapat dibangun serentak,” katanya.

Len Talif berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah tamah Aidilfitri DUN Kuala Rajang di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei, malam tadi.
Selain Jambatan Batang Rajang, beliau berkata, ketiga-tiga sistem jalan perhubungan utama iaitu Lebuhraya Pan Borneo, Jajaran Rangkaian Jalan Kedua dan Jalan Persisir turut akan dibangunkan untuk memastikan Sarikei menjadi lebih mudah diakses serta tumpuan pertumbuhan ekonomi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penduduk Kampung Bukit Kinyau juga bakal menikmati manfaat pembangunan apabila jalan sepanjang 12.6 kilometer (km) dari Sarikei ke Bukit Kinyau bernilai RM80 juta telah diluluskan dan akan dibina.
Pecahan projek jalan itu juga bakal menghubungkan kawasan Sentebu, Sare dan Kerubong, sekali gus melengkapkan rangkaian jalan sedia ada.
“Anak-anak kita bukan sahaja mendapat pekerjaan tetapi bagaimana mereka dapat terlibat untuk membangunkan serta mengambil bahagian dalam perniagaan setelah Sarikei dihubungkan jalan raya dari semua pelosok Sarawak,” katanya.
Katanya lagi, melengkapkan keperluan infrastruktur di Sarikei, beberapa projek lain turut dirancang, termasuk pembinaan Anjung Usahawan bernilai RM15 juta yang kini dalam proses reka bentuk untuk membantu usahawan kecil tempatan.
Dalam masa sama, katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah bersetuju dengan pembangunan pelan induk ‘Kampung Debah’ yang merupakan kampung asal Sarikei secara komersial bagi menambah nilai aset penduduk.
Tambahnya, pemilik tanah ‘Kampung Debah’ akan menerima pampasan dan penempatan semula dengan perumahan ala Darul Hana di kawasan bersebelahan tapak Taman Agro.
Kampung Warisan Susur Jambu pula tidak ketinggalan menerima manfaat menerusi dua projek utama iaitu pembinaan surau dan dewan serbaguna bernilai RM2 juta di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Kuala Rajang.
Turut hadir Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin.
Oleh Earl Anek