
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, menjemput penduduk Jalan Arang dan kawasan sekitarnya untuk menyertai sesi dialog komuniti, Sabtu ini bagi mengukuhkan komunikasi antara rakyat dan agensi kerajaan serta membincangkan pelbagai isu setempat.
Dialog itu akan diadakan pada 9.00 pagi di Gelanggang Bola Keranjang Taman Mewah dengan penyertaan wakil daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Sarawak Water Sdn Bhd, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Lo berkata, inisiatif itu menyediakan platform yang mudah kepada penduduk untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi berkaitan dengan mengemukakan aduan, mendapatkan penjelasan, memberi cadangan, serta menerima maklumat terkini mengenai perkhidmatan perbandaran, bekalan air, keselamatan awam, perumahan, infrastruktur, dan isu komuniti yang lain.

“Ramai penduduk berdepan isu yang melibatkan pelbagai agensi. Daripada berurusan dengan setiap agensi secara berasingan, dialog ini menghimpunkan semua pihak di bawah satu bumbung supaya isu dapat ditangani dengan lebih cekap di samping meningkatkan penyelarasan antara agensi,” katanya.
Beliau berkata pembangunan komuniti yang berkesan bermula dengan komunikasi yang terbuka dan penyertaan aktif daripada orang ramai.
Menurutnya, dialog itu mencerminkan komitmennya untuk memastikan penduduk mempunyai akses secara langsung kepada agensi kerajaan dan maklum balas mereka terus memainkan peranan penting dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
Lo berkata, sesi itu bukan sahaja bertujuan menyelesaikan masalah, malah memperkukuhkan persefahaman antara penduduk dan agensi kerajaan serta menggalakkan kerjasama bagi mewujudkan komuniti yang lebih selamat, bersih dan selesa didiami.
Beliau menggalakkan penduduk mengemukakan sebarang pertanyaan atau cadangan berkaitan perkhidmatan perbandaran, bekalan air, penyelenggaraan jalan dan sistem perparitan, kemudahan awam, perumahan, keselamatan komuniti atau isu tempatan yang lain.
Lo turut menjemput ketua masyarakat, persatuan penduduk, golongan belia, wanita dan orang ramai di kawasan Jalan Arang untuk hadir serta mengambil bahagian dalam sesi dialog tersebut.
“Penyelesaian terbaik bermula dengan mendengar suara rakyat. Dialog ini adalah usaha untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dan komuniti serta bekerjasama menyelesaikan isu yang paling penting kepada penduduk,” katanya.
Oleh Connie Chieng