KUCHING: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap lebih banyak peruntukan disalurkan dalam Belanjawan 2025 untuk memajukan sektor perikanan negara dan memperbaiki infrastruktur yang semakin uzur.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, berkata peruntukan tambahan ini bagi memastikan kemajuan industri perikanan laut marin dan kebajikan nelayan terus terjaga.
“Kami berharap peruntukan lebih besar dapat digunakan untuk membaik pulih infrastruktur kompleks perikanan yang usang serta memajukan industri perikanan laut marin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kolam Pancing Satang Biru(KPSB) di Kampung Telaga Air, dekat sini hari ini.
Ketika ditemui pemberita kemudian beliau juga berharap agar kerajaan terus menyalurkan subsidi dan insentif kepada nelayan, di samping menambah dana untuk projek ekonomi yang diusahakan oleh persatuan nelayan.
Katanya, usaha ini penting bagi mencapai matlamat ‘1 Produk 1 Persatuan Nelayan Kawasan (1P1P)’ yang dilaksanakan oleh LKIM.
“Tambahan dana kepada persatuan nelayan dapat membantu mereka menjalankan projek ekonomi dengan lebih berkesan. Ini penting untuk memastikan persatuan nelayan mampu membina ekosistem kerana nelayan tidak lagi perlu bergantung kepada pihak lain,” jelasnya.
Muhammad Faiz turut menggalakkan persatuan nelayan untuk terus bersaing secara aktif dalam meningkatkan hasil ekonomi mereka.
Beliau menegaskan, penubuhan persatuan ini bertujuan meningkatkan ekonomi nelayan, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada agensi kerajaan atau pihak lain.
“Kita mahu persatuan nelayan menjadi entiti perniagaan yang berdaya maju dan mampu berdikari dalam menjalankan projek ekonomi mereka. Walaupun kerajaan akan membantu dari segi modal kewangan, persatuan juga perlu memainkan peranan penting dalam menambah pendapatan ahli-ahli mereka,” tambahnya.
Beliau berharap agar langkah ini dapat memastikan kebajikan nelayan terjaga dan sektor perikanan negara terus berkembang maju.
Oleh SHAHRUL QAIZAT