LIVERPOOL, England: Curtis Jones memacu Liverpool tujuh mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika pasukan pilihan juara itu terselamat daripada ancaman awal sebelum menang 3-1 berdepan kelab bergelut Leicester awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Arne Slot dikejutkan dengan gol awal Jordan Ayew pada minit keenam di Anfield, namun pendahulu kejuaraan itu bangkit untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama menerusi Cody Gakpo.
Pemain tengah England, Jones meraikan penampilan ke-100 dalam liga utama dengan gol kedua empat minit selepas rehat.
Mohamed Salah kemudian meledak pada minit ke-82 menyaksikannya mengumpul 19 gol musim ini sekali gus melengkapkan kemenangan ke-11 Liverpool dalam 13 perlawanan terakhir bagi semua pertandingan.
Kebangkitan Liverpool melonjakkan mereka tujuh mata di depan pasukan tangga kedua Chelsea, yang terdahulu tumpas 2-1 di tangan Fulham.
The Reds, yang beraksi kurang satu perlawanan berbanding Chelsea, hanya kalah sekali dalam 17 perlawanan liga musim ini.
Mereka menang 22 daripada 26 perlawanan bagi semua pertandingan dalam catatan mengagumkan sejak Slot tiba dari Feyenoord pada hujung musim untuk menggantikan Jurgen Klopp.
Klopp mengemudi kejayaan terakhir Liverpool menjuarai EPL pada tahun 2020 dan Slot meletakkan mereka di kedudukan sempurna untuk menyamai pencapaian itu pada babak kedua musim.
Turut layak ke separuh akhir Piala Liga dan mengungguli carta Liga Juara-Juara, Liverpool, yang bertandang ke West Ham bagi perlawanan terakhir mereka tahun ini Ahad ini, akan melangkah ke tahun 2025 dengan peluang merebut empat kejuaraan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pasukan ketiga tercorot Leicester hanya satu mata ketinggalan berbanding zon selamat selepas mengalami kekalahan ketiga berturut-turut. – AFP