
Mac Allister meraikan gol kedua bersama Mohamed Salah dan Dominik Szoboszlai.
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool Arne Slot memuji mentaliti kemenangan pasukannya yang berkelebihan 13 mata selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Newcastle United 2-0, awal pagi tadi.
Dominik Szoboszlai dan Alexis Mac Allister menemui sasaran pada setiap babak perlawanan sekali gus membolehkan Reds semakin jauh meninggalkan Arsenal di tangga kedua yang hanya seri 0-0 di Nottingham Forest.
Tidak tewas 24 aksi liga, Liverpool semakin hampir menyamai rekod 20 gelaran liga tertinggi Inggeris tetapi hanya yang kedua untuk mereka dalam tempoh 35 tahun.
Slot terpaksa menyaksikan anak buahnya beraksi dari tempat duduk penonton selepas digantung dua perlawanan akibat kad merah diterima ketika menentang Everton pada awal bulan ini.
Ia permulaan cabaran kepada lima aksi EPL dalam tempoh 15 hari tetapi Liverpool meraih 11 mata yang menggandakan kelebihan mereka berbanding dua minggu lalu.
“Semua cabaran mental dihadapi pemain dengan tenang dan mereka melakukan apa yang perlu dilakukan,” kata Slot.
“Menyukarkan lawan beraksi menentang kami dan akhirnya kualiti kami menjadi perbezaan.”
Szoboszlai meletakkan tuan rumah di depan menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-11 di Anfield selepas mendapat hantaran Luis Diaz.
Newcastle semakin baik selepas rehat tetapi Mac Allister menggandakan jaringan Reds pada minit ke-63 hasil kerapuhan benteng lawan yang dimanfaatkan bintang Argentina itu dengan rembatan kencang yang digagal diselamatkan penjaga gol Nick Pope.
Kekalahan di Anfield meninggalkan Newcastle di tangga keenam, tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat Manchester City.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada aksi final Piala Liga yang berlangsung 16 Mac dan Eddie Howe percaya Magpies menunjukkan mereka mampu sekurang-kurangnya bersaing dengan Liverpool.
“Saya tak fikir ia prestasi buruk tetapi dengan dua gol kami sepatutnya lebih bagus,” kata Howe.
“Kedua-dua gol hasil hantaran ke dalam kotak penalti kami yang sepatutnya boleh disekat lebih awal. Kami juga berpeluang menjaringkan gol tetapi tidak cukup tajam di depan gawang.” – AFP