
Mohamed Salah mampu mengucar-ngacirkan kubu pertahanan lawan. – Foto fail AFP
LONDON: Liverpool kekal menjadi pilihan utama merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi Arsenal mendapat sinar baharu menjelang hujung minggu ini selepas Everton mengikat pendahulu dalam tempoh yang lama itu pada pertengahan minggu.
Tottenham melayan Manchester United dalam pertembungan dua kelab gergasi yang tidak beraksi di tahap sebenar manakala empat kelab tercorot perlu bangkit ketika ini atau menerima padah terjerumus lebih jauh.
Pemain tengah Arsenal, Declan Rice berjanji minggu ini “perkara besar akan datang” sebelum Liverpool mencicirkan dua mata di Goodison Park.
Di sebalik tamparan itu, susulan gol penyamaan saat akhir pemain Everton, James Tarkowski, anak buah Arne Slot tidak perlu panik selepas melebarkan jurang pendahuluan mereka ke atas The Gunners kepada tujuh mata.
Liverpool pasti yakin mereka boleh mengatasi kelab bermasalah Wolves malam Ahad ini tetapi dua minggu akan datang mungkin menjadi penentu buat kelab itu, yang berusaha untuk menyamakan pencapaian Manchester United meraih 20 kejuaraan liga utama Inggeris.
The Reds bertandang untuk berdepan pasukan Aston Villa kendalian Unai Emery awal pagi Khamis depan sebelum kunjungan ke Manchester City dan aksi laman sendiri menentang Newcastle.
Menurut penganalisis bola sepak Opta, tiada apa yang boleh mengganggu lena tidur Slot ketika pasukannya, yang menampilkan pemain terbilang Mohamed Salah, masih mempunyai hampir 90 peratus peluang memenangi kejuaraan.
Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou berkata beliau tidak bimbang dipecat, namun warga Australia yang tertekan itu tidak mampu berdepan satu lagi kekalahan memilukan menentang Manchester United tengah malam Ahad ini.
Postecoglou berpegang teguh kepada prinsipnya selepas musim hambar Tottenham diburukkan lagi dengan penyingkiran daripada Piala Liga dan Piala FA dalam tempoh empat hari minggu lalu.
Tottenham mensia-siakan kelebihan 1-0 aksi pertama separuh akhir Piala Liga apabila Liverpool membenam kelab London utara itu 4-0. Mereka kemudian tumpas 2-1 di tangan Aston Villa pada pusingan keempat Piala FA.
Terdampar di tangga ke-14 EPL, pasukan Postecoglou yang dihantui kecederaan terdesak untuk menang apabila United, yang hanya dua mata di depan mereka, bertandang ke Stadium Tottenham Hotspur.
Kekalahan di tangan pasukan United yang turut berdepan musim buruk pasti meningkatkan kemarahan peminat dan mungkin saat terakhir buat Postecoglou.
“Saya hanya perlu meneruskan kerja seperti biasa,” katanya. “Anda perlu mengharunginya. Ia tidak mengubah keputusan yang saya lakukan.”
Mikel Arteta berharap kem latihan cuaca panas Arsenal akan meringankan kesakitan anak buahnya serta mencetus dorongan bagi penamat mantap musim ini.
Sebaliknya, penyerang Jerman, Kai Havertz terpaksa diketepikan bagi baki kempen kali ini dengan kecederaan hamstring yang memerlukan pembedahan.
Havertz yang tidak konsisten sering dikritik, tetapi bos Arsenal, Arteta tetap mempercayai pemain berusia 25 tahun itu, dengan beberapa pilihan lain di tangannya.
Bukayo Saka tidak beraksi sejak Disember dan Gabriel Jesus mengalami kecederaan lutut serius yang menamatkan musimnya lebih awal bulan lalu.
Gabriel Martinelli turut diketepikan, meninggalkan Leandro Trossard, Raheem Sterling yang tidak menyerlah dan pemain remaja Ethan Nwaneri sebagai penyerang Arsenal bagi kunjungan ke kelab bawahan Leicester malam esok. – AFP
JADUAL EPL MINGGU INI
Awal pagi esok:
Brighton mln Chelsea (4 pagi)
Malam esok:
Leicester mln Arsenal (8.30 malam)
Aston Villa mln Ipswich (11 malam)
Fulham mln Nottingham Forest (11 malam)
Manchester City mln Newcastle (11 malam)
Southampton mln Bournemouth (11 malam)
West Ham mln Brentford (11 malam)
Awal pagi Ahad:
Crystal Palace mln Everton (1.30 pagi)
Malam Ahad:
Liverpool mln Wolves (10 malam)
Tottenham mln Manchester United (12.30 tengah malam)