LONDON: Liverpool melonjak empat mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Mohamed Salah cemerlang mengemudi kemenangan besar yang tidak akan dilupakan 6-3 ke atas Tottenham awal pagi tadi.
Salah memperagakan persembahan terpuji menampilkan dua gol dan dua umpanan gol ketika anak buah Arne Slot berpesta gol di utara London.
Liverpool mengambil kesempatan selepas pasukan tangga kedua Chelsea seri 0-0 di Everton lewat malam tadi untuk mengukuhkan status mereka sebagai calon hangat kejuaraan menuju ke tempoh Krismas.
Tottenham tidak menemui jawapan terhadap kebijakan dan kehebatan Liverpool menekan dan melakukan hantaran serta gerakan, dengan bintang Mesir, Salah mengemudi serangan berbahaya mereka.
Salah satu-satunya pemain EPL meraih dua angka dalam gol (15) dan umpanan gol (11) musim ini.
Pemain berusia 32 tahun itu kini penjaring gol keempat terbanyak Liverpool dengan 229 gol.
Dua gol membolehkannya melepasi Billy Liddell, dengan hanya Ian Rush (346), Roger Hunt (285) dan Gordon Hodgson (241) berada di depannya.
Persembahan keperwiraan terbaharu Salah hanya menuntut keperluan mendesak untuk menyelesaikan masa depannya, dengan kontrak semasa penyerang itu akan tamat hujung musim ini.
Dia bebas untuk menandatangani perjanjian prakontrak bersama kelab luar negara mulai Januari ini dan dia membayangkan beberapa kali ini mungkin musim terakhirnya di Anfield.
Dengan Salah menyumbat 18 gol dalam semua pertandingan, Liverpool bertindak cemerlang sejak Slot tiba dari Feyenoord untuk menggantikan Jurgen Klopp pada hujung musim lalu.
Klopp membantu Liverpool menang kejuaraan EPL kali terakhir pada tahun 2020 dan ia kelihatan semakin kuat Slot akan menyamai kejayaan itu dalam kempen sulungnya.
The Reds menang 21 daripada 25 perlawanan bagi semua pertandingan di bawah kendalian Slot dan beraksi kurang satu perlawanan berbanding Chelsea untuk mengukuhkan pendahuluan mereka dalam perebutan kejuaraan.
Ia satu persembahan mengagumkan kekuatan Liverpool ketika Luis Diaz dan Alexis Mac Allister menyumbat gol untuk membolehkan mereka mendahului.
Dominik Szoboszlai meraih gol ketiga Liverpool sejurus sebelum rehat dan Salah mengambil alih dengan dua gol selepas rehat sebelum Diaz meledak sekali lagi.
Dihukum kerana pengurus Ange Postecoglou mengekalkan prinsipnya dengan benteng pertahanan beraksi agak ke atas, ia kali pertama dalam tempoh 10 tahun Tottenham melepaskan lima gol atau lebih dalam aksi EPL.
Kekalahan kelapan dalam liga musim ini menyaksikan Tottenham terdampar di tangga ke-11 ketika tekanan semakin memuncak buat Postecoglou. – AFP