
SIBU: Isu liputan telekomunikasi yang lemah di kawasan Bawang Assan menjadi fokus utama pada sesi dialog bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cawangan Sibu semalam.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, penganjuran sesi dialog tersebut amat penting sebagai platform penduduk di kawasan itu memahami tentang status liputan telekomunikasi di kawasan Bawang Assan.
“Semasa sesi dialog, kami mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang status rangkaian di kawasan Bawang Assan,” katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa semasa dialog semalam, pemimpin masyarakat dan telah mengemukakan cadangan bagi kawasan di bawah tanggungjawab mereka.
“Kami membincangkan penyelesaian dengan pegawai SKMM, kami berharap akan ada penambahbaikan pada masa hadapan,” kata beliau.
Lau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SKMM cawangan Sibu dan berharap mereka akan terus mengekalkan kerjasama yang erat pada masa akan datang.
“Ini supaya dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan memberi bantuan tepat pada masanya apabila terdapat keperluan di kawasan itu,” kata beliau lagi.
Turut hadir Penghulu Wong Ung, Penghulu Tiew Siik Nieng, Penghulu Jakson Ting, Kapitan Tan Ching Teck, Kapitan Ngu Ing Huong serta yang lain.
Oleh Akun Giman