ANKARA: Bintang Argentina, Lionel Messi dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2022 pada Anugerah Bola Sepak Terbaik FIFA 2022 di Salle Pleyel di Paris, Perancis.
Menurut Agensi Anadolu (AA), pemain berusia 35 tahun itu merangkul anugerah berprestij itu buat kali ketiga selepas 2009 dan 2019 selepas rakan sepasukannya Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe dan penyerang Perancis Real Madrid, Karim Benzema.
Messi mengetuai pasukan bola sepak kebangsaan Argentina merangkul kejuaraan Piala Dunia ketiga mereka dalam sejarah pada Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar pada Disember.
Anugerah Pemain Wanita Terbaik FIFA 2022 dimenangi pemain tengah Sepanyol Barcelona Alexia Putellas yang menggondol anugerah itu dua kali berturut-turut.
Video peringatan legenda Brazil Pele, yang meninggal dunia Disember lepas, turut ditayangkan selepas ucapan perasmian Presiden FIFA Gianni Infantino.
Bekas penyerang legenda Brazil Ronaldo Nazario naik ke pentas dan menyampaikan anugerah khas yang didedikasikan untuk Pele kepada bekas isterinya, Marcia Aoki.
Penjaga gol Manchester United dari Britain, Mary Earps memenangi anugerah Penjaga Gol Wanita Terbaik FIFA 2022 manakala penjaga gol Aston Villa dari Argentina, Emiliano Martinez, yang sebelum ini memenangi anugerah Sarung Tangan Emas Piala Dunia FIFA 2022, memenangi anugerah Penjaga Gol Lelaki Terbaik.
Anugerah Puskas FIFA 2022, untuk gol terbaik yang dijaringkan pada 2022, dimenangi pemain bola sepak kurang upaya dari kelab Warta Poznan Poland, Marcin Oleksy. – Bernama