‘Linger & Soul’ terjemah perjalanan dua dekad Hatta Dolmat dalam fesyen

Facebook
WhatsApp
PEREKA fesyen tanah air, Hatta Dolmat menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di Suria KLCC semalam. Pengiktirafan tersebut adalah bagi kategori Gandingan Busana Couture dan Karya Lukisan Terbanyak dalam Satu Pentas Peragaan. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bagi kebanyakan orang, matahari terbenam mungkin sekadar pemandangan yang indah untuk dirakam sebagai kenangan, namun bagi pereka fesyen tersohor Hatta Dolmat, setiap senja membawa cerita, emosi dan wajah insan yang pernah mewarnai perjalanan hidupnya.

Dari Malibu (California, Amerika Syarikat) hingga Phuket (Thailand), Langkawi dan Sabah, setiap destinasi yang menyaksikan terbenamnya matahari menjadi sumber ilham Hatta dalam menghasilkan koleksi terbaharunya, Linger & Soul, yang dipersembahkan pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 baru-baru ini.

 ANTARA rekaan pereka fesyen tanah air Hatta Dolmat yang diperagakan pada malam penutup Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di Suria KLCC semalam. Hatta menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Gandingan Busana Couture dan Karya Lukisan Terbanyak dalam Satu Pentas Peragaan. Foto BERNAMA 

Hatta, atau nama sebenarnya Muhammad Hatta Dolmat, berkata koleksi berkenaan turut menjadi refleksi perjalanan hidupnya sepanjang dua dekad dalam industri fesyen, selain kecintaannya terhadap seni lukis.

“Koleksi Linger sangat autobiografikal. Saya memang suka kejar ‘sunset’ (matahari terbenam). Saya pergi Malibu, Phuket, Langkawi mahupun Sabah, semuanya ada ‘sunset’ yang berlainan.

“Mungkin ada orang hanya melihat ia sebagai ‘sunset’, tetapi saya melihat orang, saya mengingati perkara, detik dan apa yang saya rasa pada waktu itu.

“Sepantas ‘sunset’ itu berlalu, sepantas itu juga manusia yang masih bersama kita sehingga hari ini boleh pergi. Dalam perjalanan saya selama 20 tahun, pada akhirnya, kita kembali kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen itu.

MODEL memperagakan busana rekaan Hatta Dolmat pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di semalam. Foto BERNAMA

Usahawan berusia 44 tahun itu berkata koleksi sedia dipakai (RTW) berkenaan merupakan usahanya untuk memastikan karya fesyen yang dihasilkan bukan sekadar dipamerkan di pentas peragaan, sebaliknya boleh dimiliki dan digayakan oleh orang ramai.

Beliau berkata pendekatan itu selari dengan evolusi industri fesyen yang semakin menuntut pereka mengimbangi kreativiti dan nilai seni dengan aspek kebolehgunaan serta keperluan pasaran.

“Saya suka tunjukkan kreativiti dan seni, tetapi pada masa sama kita perlu fikir tentang orang yang mahu memiliki koleksi itu. Bukan hanya tengok koleksi yang cantik pada malam pertunjukan, tetapi mereka juga mahu memilikinya,” katanya.

ANTARA rekaan pereka fesyen tanah air Hatta Dolmat yang diperagakan pada malam penutup Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di Suria KLCC semalam. Hatta menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Gandingan Busana Couture dan Karya Lukisan Terbanyak dalam Satu Pentas Peragaan. Foto BERNAMA

Jika Linger mengangkat sisi peribadi dan kenangan, koleksi Soul pula menjadi ruang buat Hatta menonjolkan sisi artistiknya menerusi gabungan seni lukis dan fesyen.

Sebanyak 10 karya lukisan bersaiz besar dipamerkan bersama-sama dengan rekaan couture di pentas peragaan, sekali gus memberi pengalaman seolah-olah penonton berada dalam galeri seni dan pertunjukan fesyen pada masa sama.

Idea itu mendapat sokongan pengasas KLFW Andrew Tan yang memberi ruang untuk 10 lukisan bersaiz besar dipersembahkan di pentas peragaan.

Lebih menarik, setiap rekaan dalam koleksi berkenaan menampilkan elemen struktur dan organik, selain pergerakan bulu, cat serta lukisan, dalam usaha menggabungkan dua dunia yang dekat dengan jiwa Hatta, iaitu seni dan fesyen.

PARA penonton menyaksikan model memperagakan busana rekaan Hatta Dolmat pada malam penutup Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di Suria KLCC semalam. Foto BERNAMA 

Hatta berkata menghasilkan lukisan bersaiz besar itu menjadi antara cabaran terbesar dalam persiapan koleksi berkenaan kerana proses melukis banyak bergantung pada emosi dan keadaan perasaan.

“Bukan mudah membuat lukisan yang sarat perincian. Baru Hatta tahu kesusahan ‘the real artist’. Berbeza dengan buat baju, kita boleh buat tanpa mengikut mood pun boleh siap.

“Seni ikut mood dan emosi waktu itu. Kalau tak ada mood, mungkin tiga hingga empat hari ia (karya yang hendak dihasilkan) akan terbiar,” katanya.

Persembahan koleksi Soul turut melakar pencapaian tersendiri apabila Hatta menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records bagi kategori Most Couture-Art Painting Pairings in a Runway. – Bernama