
HYDERABAD: Lima pelancong Itali maut semasa menyertai aktiviti selam skuba di Maldives pada Khamis, menurut Kementerian Luar Itali.
“Kumpulan penyelam itu dilaporkan maut ketika cuba meneroka gua pada kedalaman 50 meter. Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan pihak berkuasa Maldives,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kejadian berlaku di Vaavu Atoll, sekitar 65 kilometer dari ibu negara Maldives, Male.
Pengawal pantai Maldives menghantar pasukan penyelam serta peralatan khas bagi operasi membawa keluar mayat mangsa.
“Pengawal Pantai dan semua pihak berkuasa berkaitan sedang giat menjalankan operasi mencari dan membawa keluar mangsa,” kata Menteri Pelancongan Maldives Mohamed Ameen menerusi hantaran di platform X.
Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives dalam satu kenyataan menyifatkan operasi mencari itu sebagai berisiko tinggi.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 1.45 tengah hari pada Khamis.
Menurut MNDF, satu mayat ditemukan di dalam gua pada kedalaman sekitar 60 meter manakala empat lagi mangsa dipercayai berada di kawasan sama. – Bernama