
PETRA JAYA: Lima individu cedera ringan selepas kenderaan Perodua Bezza terbabas ke dalam parit dalam satu kemalangan kendiri di kawasan Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di sini, petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada 3.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam parit dengan anggaran kedalaman 10 meter.
Seramai lima mangsa terlibat terdiri daripada dua lelaki dewasa, perempuan dewasa serta dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan.
Setibanya pasukan bomba di lokasi, seorang mangsa masih berada di dalam kenderaan manakala seorang lagi berada di dalam parit, sementara tiga mangsa telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
Dua mangsa lelaki dewasa menerima rawatan lanjut, manakala seorang wanita bersama dua kanak-kanak dihantar ke hospital dengan bantuan ambulans.
Operasi melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera dari BBP Petra Jaya itu turut dibantu oleh pihak polis dan KKM sebelum ditamatkan pada 4.40 petang selepas keadaan disahkan selamat.