
NEW YORK: Lima orang maut apabila sebuah bas pelancong terbabit dalam kemalangan di negeri New York pada Jumaat petang, menurut Polis Negeri New York, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku di Lebuhraya Interstate 90 di Pembroke, Genesee County, ketika bas berkenaan yang membawa lebih 50 penumpang, terbabas dalam perjalanan pulang dari Air Terjun Niagara ke New York City.
“Ketika ini, terdapat beberapa mangsa maut, beberapa terperangkap dan beberapa cedera,” kata jurucakap Polis Negeri New York, James O’Callaghan, sambil menambah jumlah keseluruhan kematian dan kecederaan masih dalam siasatan.
Kemalangan berlaku apabila pemandu bas hilang kawalan ketika kenderaan itu dipandu pada “kelajuan penuh”, dan setiap penumpang sekurang-kurangnya mengalami “luka, lebam atau calar,” katanya.
Bas itu mengalami “kerosakan teruk”, ramai penumpang tercampak keluar ketika kemalangan, namun pemandu dilaporkan “masih hidup dan selamat,” tambah jurucakap itu.
Gabenor New York Kathy Hochul, dalam hantaran di platform media sosial X berkata beliau telah dimaklumkan mengenai “kemalangan tragis bas pelancong” itu, sambil menambah pasukannya sedang menyelaraskan dengan Polis Negeri dan pegawai tempatan untuk “menyelamatkan dan memberi bantuan kepada semua yang terlibat.”
Mercy Flight, penyedia perkhidmatan pengangkutan perubatan udara bukan berasaskan keuntungan, berkata tiga helikopternya telah membawa mangsa dari lokasi kemalangan ke hospital berhampiran.– Bernama-Xinhua