KARBALA: Petugas penyelamat mencari melalui runtuhan Masjid Syiah di tengah Iraq selepas tanah runtuh mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang termasuk seorang kanak-kanak.
“Selepas lebih 24 jam menggali batu, kayu dan serpihan lain yang runtuh, kami menemui lima mayat. Itu mungkin angka terakhir,” kata Pertahanan Awam, Jeneral Abdelrahman Jawdat, sambil memberitahu usaha menggali diteruskan sekiranya terdapat mangsa lain.
Jurucakap Pertahanan Awam, Nawas Sabah Shaker berkata sebelum ini bahawa, antara enam dan lapan jemaah haji dilaporkan terperangkap di bawah serpihan masjid, dikenali sebagai Qattarat al-Imam Ali, berhampiran bandar Karbala.
Pasukan penyelamat menggunakan jentolak melalui pintu masuk masjid itu yang menyerupai separuh kubah yang dihiasi dengan hiasan jubin biru yang dilitupi dalam tulisan Arab.
Bangunan suci yang diapit oleh dua menara terletak di dasar dinding batu yang tinggi dan kosong dengan sebahagian bumbung konkritnya telah runtuh.
Jawdat berkata, pasukan penyelamat menemui mayat dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak dan sedang berusaha untuk membawa keluar mayat mangsa kelima, manakala seorang lagi wanita yang mereka temui.
Pasukan keselamatan bersenjata mengawal pintu masuk masjid, manakala penyelamat bekerja di dalam dan orang ramai memerhati dari belakang pagar besi.
Tiga kanak-kanak diselamatkan lebih awal, kata Perkhidmatan Kecemasan, sambil menambah bahawa, ketiga-tiga kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik dan dipantau di hospital.
Pasukan penyelamat yang bekerja sepanjang malam Sabtu dapat membekalkan bekalan oksigen serta makanan dan air kepada beberapa daripada mereka yang terperangkap melalui celah dalam runtuhan, kata agensi berita negara ,INA.
Presiden Iraq Barham Saleh di Twitter menggesa pekerja penyelamat untuk menggerakkan semua usaha untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap.
Perdana Menteri sementara, Mustafa al-Kadhemi menggesa Menteri Dalam Negeri untuk menyelia secara langsung operasi mencari dan menyelamat di lapangan dan berharap mangsa yang cedera segera pulih.
Anggota kecemasan berkata, sebelum ini mereka mengekalkan hubungan lisan dengan mangsa untuk meyakinkan mereka.
“Kami bekerja keras dengan ketepatan yang terbaik untuk mencapai mereka yang terperangkap. Sebarang kesilapan boleh membawa kepada keruntuhan selanjutnya,” kata Jawdat, Pengarah Jabatan Media Pertahanan Awam.
Seorang lelaki di tempat kejadian, Bassem Khazali berkata, anak saudaranya adalah antara yang terperangkap dalam runtuhan itu.
“Saya takut semua usaha yang dilakukan akan menjadi sia-sia… Kami ingin tahu apa yang berlaku, mengapa ia berlaku,” kata Khazali.
Jurucakap Pertahanan Awam Shaker memberitahu bahawa, bukit pasir dan batu runtuh ke bangunan masjid disebabkan kelembapan.. -AFP