PERBADANAN Sukan Sarawak (SSC) semalam telah mengumumkan aksi Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 akan ditangguhkan susulan penularan Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Dr. Ong Kong Swee dalam satu kenyataan kepada media semalam memberitahu kejohanan itu ditangguhkan sebagai langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negeri ini.
“Sehubungan dengan keadaan pandemik Covid-19 semasa, pihak pengurusan SSC dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah bersetuju untuk menangguhkan dahulu penganjuran liga tersebut ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali,” katanya.
Dr Ong berkata SSC dengan kerjasama FAS sebelum ini telah menganjur dan melaksanakan Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021, dan ia adalah merupakan salah satu usaha untuk membangunkan Program Pembangunan Bola Sepak pelbagai peringkat di negeri ini.
Liga Bola Sepak SSC-FAS yang telah bermula pada Mac lalu, disertai sebanyak 11 buah pasukan bawah umur 25 tahun yang menyertainya.
Liga tersebut akan dibahagikan kepada tiga zon terdiri daripada 11 buah pasukan meliputi Zon Selatan iaitu Kuching City FC, Serian FA, Samarahan FA, Sarawak United ll FC (Piala Presiden), manakal Zon Tengah pula iaitu Sri Aman FA, Sarikei FA, Sibu FA dan Kapit FA dan bagi Zon Utara pula iaitu Mukah FA, Bintulu FA dan Miri FA.
Liga SSC-FAS ini dijalankan secara round-robin (timbal-balik). Juara dan Naib Juara bagi setiap kumpulan (Zon) akan layak ke pusingan seterusnya yang menempatkan sebanyak enam pasukan bagi dua pasukan terbaik setiap zon (Group of 6 team).
Group of 6 team akan diadakan secara karnival dan bahagian Bintulu telah dipilih sebagai tuan rumah bagi merebut gelaran kejuaraan Liga SSC/FAS.
Oleh ADI SAFARMAN