
PETRA JAYA: Liga Juara Bola Sepak Belia Petronas (PYFCL) 2026 akan menghimpunkan pasukan terbaik kategori bawah 14 dan bawah 16 tahun dari zon Kuching, Bintulu dan Mukah bagi merebut kejuaraan keseluruhan di pada 6 hingga 13 Disember depan, sekali gus menjadi kemuncak penganjuran kejohanan PYFT 2026.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan tahun ini dijangka mencatat penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan dengan penglibatan kira-kira 4,100 pemain dan pegawai pasukan daripada 164 pasukan di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, sebanyak 84 pasukan akan beraksi di Kuching bermula 25 Julai hingga 24 Oktober, diikuti 56 pasukan di Bintulu dari 1 Ogos hingga 8 November, manakala 24 pasukan di Mukah dari 26 September hingga 15 November.
“Pasukan terbaik kategori bawah 14 dan bawah 16 tahun dari setiap zon akan layak beraksi dalam PYFCL 2026 bagi menentukan juara keseluruhan. Ia ibarat Piala Sarawak atau liga di peringkat negeri yang menghimpunkan pasukan bola sepak belia terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kejohanan Bola Sepak Belia Petronas 2026 di Bilik Mesyuarat Mulu, Bangunan Baitul Makmur II, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, pengenalan Mukah sebagai zon baharu selepas kejayaan penganjuran edisi 2024 dan 2025 membuktikan komitmen berterusan dalam memperluaskan peluang kepada lebih ramai pemain muda di seluruh Sarawak menyertai pertandingan berkualiti.
Menurutnya, kejohanan itu bukan sekadar platform pertandingan, malah medium pembangunan belia yang mampu melahirkan generasi seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kokurikulum, selain membentuk disiplin, semangat berpasukan serta membantu mengurangkan gejala sosial.
Beliau turut memuji komitmen Petronas yang terus melabur dalam pembangunan bola sepak belia sehingga menjadikan kejohanan itu antara program pembangunan bola sepak akar umbi utama di Sarawak.
Pada masa sama, beliau menyeru lebih banyak syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menyokong pembangunan pelbagai jenis sukan di negeri ini kerana kerjasama sektor swasta amat penting dalam melahirkan lebih ramai atlet berkualiti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching, Kuching City FC, Perbadanan Sukan Sarawak, Persatuan Bola Sepak Bintulu, Persatuan Bola Sepak Mukah serta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak atas kerjasama menjayakan kejohanan tersebut.
Katanya, pengalaman peserta dan penyokong turut dipertingkatkan menerusi aplikasi mudah alih Easy Tournament yang membolehkan ibu bapa, jurulatih, pemain dan penyokong mengakses jadual perlawanan, keputusan, kedudukan pasukan serta perkembangan terkini kejohanan secara masa nyata.
Beliau menegaskan kementeriannya akan terus komited menyokong pembangunan sukan belia bagi melahirkan generasi muda Sarawak yang lebih aktif, berdaya tahan dan bersatu melalui sukan.
Oleh Shikin Mahmud