KUCHING: Penglibatan golongan belia dalam industri pengeluaran makanan utama adalah penting untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar makanan utama di negara ini.
Sarawak mampu menjadi negeri pengeluar utama makanan utama jika golongan muda melibatkan diri dalam industri pertanian dengan mengadaptasi sistem Internet (IoT) yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan.
Naib Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi (gambar) berkata, potensi dan peluang dalam industri ini mampu menyumbang kepada pendapatan ekonomi Negara.
“Seperti sedia maklum, pertanian moden merupakan cabang baharu pertanian yang perlu diterokai dan diceburi oleh golongan belia, kerana ia diusahakan menggunakan teknologi terkini.
“Dengan adanya teknologi terkini semuanya berada di hujung jari, ini adalah kerana kerajaan telah memeperkenalkan sistem Internet of Thing (IoT) dalam industri pertanian untuk dimanfaatkan,” Katanya.
Menurut beliau, SABERKAS akan memberi tumpuan khusus bagi meningkatkan penglibatan belia di negeri ini dalam pertanian moden.
“Kita mempunyai ramai graduan pada masa kini yang masih memerlukan pekerjaan, mereka perlu mengubah cita rasa dan mencuba bidang yang jarang diterokai ini.
“Pertanian moden yang menggunakan Sistem IoT masih dapat mengeluarkan hasil yang tinggi dan lebih berkualiti berbanding secara konvensional.” Ujarnya.
Beliau turut menyarankan agar golongan usahawan tani perlu memberanikan diri untuk beralih kepada pertanian ketepatan dan melakukan transformasi dengan melibatkan diri dalam pertanian moden.
“Ini adalah kerana kaedah pertanian ketepatan mampu menjana hasil pertanian yang tinggi di samping menjamin pengurusan kos yang lebih cekap dan berkesan.
“Kawasan kita mempunyai ramai petani namun masih mengusahakannya secara konvensional dan kita mahu mereka bersama-sama terlibat sama dalam mengusahakan pertanian moden.”
Beliau yang ditemui pemberita selepas melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi di sini semalam berkata, Sarawak beruntung kerana Ketua Menteri turut memberi penekanan kepada pertanian moden.
“Kita perlu merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan negeri kerana pertanian juga mampu menjana pendapatan tinggi jika diusahakan dengan betul,” jelasnya.
Turut hadir, ahli-ahli SABERKAS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Pantai Damai.
Oleh Jeakqleyn Yacho