PETRA JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sarawak kini mempertingkatkan pendekatan berasaskan risiko bagi mengatasi cabaran pematuhan cukai dan memastikan penguatkuasaan dijalankan secara adil dan berkesan.
Menurut Pengarah LHDN Sarawak, Vijayen Nagalingham, pematuhan cukai melibatkan tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang cukai, mengemukakan penyata cukai tepat pada masanya, melaporkan data kewangan dengan tepat, serta membayar jumlah cukai yang sepatutnya.
Beliau menegaskan bahawa perubahan berterusan dalam undang-undang cukai dan kerumitan penyimpanan rekod menjadi cabaran kepada pembayar cukai.
Justeru, kejujuran, integriti, serta bantuan profesional sering diperlukan.
“Pematuhaan cukai bukan sahaja satu kewajipan undang-undang tetapi juga membantu perniagaan mengelakkan penalti kewangan, komplikasi undang-undang, dan risiko terhadap reputasi mereka,” kata Vijayen semasa berucap dalam forum Tax and Trade in Sarawak: A Dialogue with Customs and IRBM, sebahagian daripada Persidangan Bajet Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa pematuhan cukai memberikan kelebihan kepada perniagaan, termasuk peluang menyertai tender kerajaan melalui Sijil Pematuhan Cukai (TCC), yang merupakan salah satu syarat utama.
Vijayen menjelaskan bahawa pemilihan kes untuk pemeriksaan pematuhan dilakukan secara terperinci melalui penilaian risiko yang melibatkan analisis laporan kewangan, data pertumbuhan ekonomi, dan maklumat daripada agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Pendekatan ini, jelasnya, untuk memastikan kawasan berisiko tinggi diberi tumpuan, sekali gus meningkatkan keadilan dan kecekapan dalam penguatkuasaan.
Tambah beliau, audit pematuhan pula bertujuan mendidik pembayar cukai dan bukan sekadar mengenakan hukuman, tindakan lebih tegas hanya dikenakan terhadap mereka yang sengaja mengelak cukai.
“Kebanyakan pembayar cukai ingin mematuhi undang-undang. Peranan kami adalah memberikan pendidikan dan sokongan, sementara tindakan tegas dikhususkan untuk mereka yang sengaja mengelak tanggungjawab,” jelasnya.
Kerjasama LHDN dengan agensi lain, termasuk pelaksanaan operasi bersama, turut mempermudah proses pematuhan dan mengurangkan risiko audit berulang oleh pelbagai pihak berkuasa.
Inisiatif ini, katanya, akan meningkatkan pengalaman pembayar cukai sambil mengekalkan integriti sistem percukaian. – EDISI UKAS