
WASHINGTON, Amerika Syarikat: Penerokaan angkasa lepas sememangnya tidak pernah terlepas daripada pelbagai cabaran dan kegagalan.
Namun, letupan besar roket New Glenn milik Blue Origin pada Khamis malam merupakan tamparan hebat bukan sahaja kepada syarikat yang diasaskan oleh bilionair Jeff Bezos itu, malah turut memberi kesan kepada NASA yang sedang bekerjasama dengannya dalam misi ke Bulan Amerika Syarikat pada masa akan datang.
“Penerbangan angkasa lepas tidak memberi ruang kepada kesilapan,” kata Pentadbir NASA, Jared Isaacman menerusi hantaran di platform X sejurus selepas kejadian itu.
Beliau memaklumkan bahawa pihaknya akan menyokong siasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan yang berlaku semasa ujian darat dan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.
Roket setinggi 98 meter itu, yang merupakan roket paling berkuasa dalam armada Blue Origin, meletup kira-kira 9.00 malam waktu tempatan pada Khamis (0100 GMT Jumaat).
Ketika kejadian, roket berkenaan sedang menjalani ujian darat di Cape Canaveral, Florida sebagai persediaan bagi penerbangan seterusnya sebelum meletup dalam satu bebola api gergasi yang menggegarkan industri angkasa lepas.

Walaupun insiden tidak dijangka ketika ujian darat agak kerap berlaku, letupan sebesar itu jarang berlaku.
Gambar yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan kerosakan besar bukan sahaja pada roket tersebut, malah turut menjejaskan tapak pelancarannya.
“Ia akan mengambil masa untuk membina semula tapak pelancaran mereka,” kata Ahli Kongres Florida, Mike Haridopolos, yang mewakili kawasan Cape Canaveral, kepada penyiar Fox News pada Jumaat.
Blue Origin enggan mengulas lanjut kepada AFP mengenai kejadian itu, termasuk tahap kerosakan serta perkembangan siasatan yang sedang dijalankan bersama NASA dan Pasukan Angkasa Amerika Syarikat.
Roket New Glenn akan digantung operasinya sehingga siasatan selesai.
Misi Ke Bulan
New Glenn merupakan aset utama dalam cita-cita Blue Origin serta Program Artemis NASA, sekali gus menjadikan insiden itu berpotensi menjejaskan peranan syarikat berkenaan pada masa hadapan.
“Saya yakin mereka akan bangkit semula, tetapi persoalannya ialah bagaimana kejadian ini akan memberi kesan kepada Artemis,” kata Timbalan Pengarah Projek Keselamatan Aeroangkasa di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Clayton Swope kepada AFP.
NASA turut menugaskan syarikat pesaing, SpaceX, untuk membangunkan pendarat Bulan bagi membawa angkasawan dan peralatan ke permukaan Bulan dalam usaha mewujudkan pangkalan di sana.
Walaupun SpaceX turut berdepan cabaran sejak beberapa bulan lalu, Blue Origin dilihat sebagai alternatif yang menjanjikan kepada NASA.
Malah, agensi angkasa lepas itu baru sahaja menganugerahkan kontrak baharu misi ke Bulan kepada syarikat berkenaan minggu ini.
Kemunduran Besar
Namun, projek-projek tersebut sangat bergantung kepada roket New Glenn. Dengan letupan terbaharu itu berlaku tidak lama selepas kegagalan misi satelit akibat masalah teknikal bulan lalu, insiden berulang berpotensi mengganggu jadual ketat misi NASA.

NASA menyasarkan untuk menguji pertemuan di orbit antara kapal angkasa dan satu atau dua pendarat Bulan pada 2027 sebagai sebahagian daripada misi Artemis III, sebelum melaksanakan pendaratan berawak di Bulan menjelang akhir 2028, iaitu sebelum tamat tempoh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Letupan pada Khamis itu juga merupakan tamparan besar kepada satu lagi projek Bezos, iaitu rangkaian internet satelit Amazon Leo yang bertujuan menyaingi perkhidmatan Starlink milik SpaceX.
Menurut Swope, projek tersebut bergantung kepada roket New Glenn dan beberapa pelancar lain untuk menghantar satelit ke orbit.
Insiden letupan di Cape Canaveral bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah penerokaan angkasa lepas.
Sepuluh tahun lalu, roket Falcon 9 milik SpaceX turut meletup ketika menjalani ujian darat sebelum pelancaran, sekali gus memusnahkan satelit bernilai AS$200 juta yang sepatutnya dibawanya ke angkasa lepas. – AFP