KUALA LUMPUR: Kesemua enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang cedera susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan semalam, kini selamat berada di Kem Marakah bersama anggota lain.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan konvoi pertama MALBATT 850-12 yang terlibat dalam insiden itu selamat tiba di kem berkenaan pada hari sama, sekitar 5.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia) bersama lima daripada enam anggota yang mengalami cedera ringan.
“Salah seorang anggota yang menerima rawatan di Hospital Hamood juga telah dibenarkan keluar pada 8 Nov, pukul 12.01 tengah malam waktu Lubnan (6.01 pagi waktu Malaysia).
“Rawatan susulan terhadap anggota yang mengalami kecederaan akan diteruskan oleh pegawai perubatan MALBATT 850 di Kem Marakah dan akan meneruskan tugasan seperti biasa apabila pulih sepenuhnya,” kata kenyataan itu.
Semalam, enam anggota pasukan MALBATT mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida di Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan (7.54 malam waktu Malaysia).
Pasukan itu yang terdiri daripada 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat, baru sahaja tiba di Lubnan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila serangan berlaku.
ATM memaklumkan pihak Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sedang menyiasat kejadian yang melibatkan konvoi MALBATT 850-12 itu.
“ATM akan terus memantau secara rapi melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) berkenaan perkembangan insiden berkenaan. Maklumat terkini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.
“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji PBB,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, ATM berkata pihaknya akan meneruskan rancangan pertukaran terup antara MALBATT 850-11 dan MALBATT 850-12 mengikut jadual yang dirancangkan pihak UNIFIL dengan kumpulan kedua MALBATT 850-12 berkekuatan 219 orang dijangka berlepas pada 10 Nov ini.
“Terup MALBATT 850-12 yang masih berada di Malaysia tetap menjalankan tugas seperti biasa dan sedang melakukan persiapan akhir sebelum diatur gerakkan ke Lubnan. Mereka tetap mempamerkan moral dan semangat juang yang tinggi,” tambah kenyataan itu.
ATM memaklumkan perkara itu turut dilaksanakan oleh beberapa negara yang menghantar terup pengaman ke UNIFIL yang terlibat dalam rancangan pertukaran terup pada bulan ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.– BERNAMA