PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak mencipta sejarah dengan menganugerahkan lesen karbon pertamanya yang merupakan satu langkah penting dalam agenda untuk menangani perubahan iklim serta memacu pembangunan mampan.
Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menyerahkan lesen tersebut pada majlis rasmi yang disempurnakan oleh Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad di Ibu Pejabat JHS di sini hari ini.
JHS dalam satu kenyataan media menyatakan SaraCarbon Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Samling menjadi pelopor dalam inisiatif karbon hutan di Sarawak.
“Syarikat ini sebelum ini dianugerahkan permit kajian karbon hutan semasa Persidangan Karbon Asia 2023.
“Projek sulung mereka iaitu Projek Pemuliharaan dan Pemulihan Hutan Marudi di Miri, bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca melalui pendekatan berasaskan alam semula jadi, sambil mempromosikan pengurusan hutan mampan.
“Mengikut piawaian antarabangsa seperti Verra, SaraCarbon bercadang menghasilkan kredit karbon berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pasaran global.
“Sarawak muncul sebagai peneraju dalam perdagangan karbon di peringkat kebangsaan, membuktikan bahawa pembangunan ekonomi boleh seiring dengan pemeliharaan alam sekitar,”katanya.
Selain itu, projek ini bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar malah juga memberi impak ekonomi yang positif, seiring dengan strategi Sarawak untuk menjadikan perdagangan karbon sebagai sektor ekonomi baharu.
Langkah ini menegaskan komitmen Sarawak terhadap usaha global menangani perubahan iklim melalui dasar progresif dan pelaksanaan praktikal.
Projek SaraCarbon juga menunjukkan potensi sumber semula jadi negeri untuk dimanfaatkan secara bertanggungjawab, memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan persekitaran.
Penyerahan lesen ini menandakan permulaan era baharu dalam inisiatif karbon Sarawak, membawa harapan untuk masa depan yang lebih lestari.-EDISI UKAS