KUCHING: Inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kepada tempoh 10 tahun yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan kelmarin bakal mempermudahkan orang ramai terutamanya yang tinggal di kawasan luar Bandar.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, dasar baharu ini juga memberi manfaat kepada penduduk luar bandar yang tinggal jauh dari pejabat JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) kerana mereka hanya perlu memperbaharui lesen setiap 10 tahun sekali.
“Ini akan mengurangkan kesulitan dan menjimatkan masa serta perbelanjaan perjalanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Lee turut menggalakkan pemegang lesen mengambil peluang memperbaharui lesen memandu dengan kadar yuran khas diskaun 10 peratus yang boleh dilakukan di semua pejabat dan kaunter JPJ mulai 8 Mei.
Katanya, mengenai kebenaran khas untuk pembaharuan lesen memandu Malaysia yang telah tamat tempoh tanpa perlu mengambil semula ujian memandu, beliau berkata inisiatif ini adalah berita baik kepada mereka yang terjejas.
Inisiatif ini menangani cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui lesen memandu berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka mesti mengambil peluang untuk memperbaharui lesen sebelum 31 Disember tahun ini,” katanya.
Pada masa sama, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke berkata, langkah tersebut adalah salah satu daripada inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang dilaksana Kementerian Pengangkutan.
Loke berkata mereka yang ingin memperbaharui lesen memandu sehingga 10 tahun juga akan menikmati diskaun 10 peratus.
https://4694ff8df6e829b90f3136add9289c76.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html “Orang ramai akan dikenakan bayaran yang sama iaitu RM30 setahun, tetapi jika mereka memperbaharui selama 10 tahun sekali gus, bayarannya ialah RM270.
“Ini bermakna mereka hanya akan membayar selama sembilan tahun.
“Mereka yang ingin memperbaharui lesen perlu memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Mengenai inisiatif kedua, Loke berkata mereka yang lesennya tamat tempoh pada 1 Januari 2018 juga boleh memperbaharuinya tanpa perlu mengambil semula ujian memandu.
Tempoh kebenaran khas ini hanya sah sehingga 31 Disember dan syarat ujian memandu akan dikenakan semula mulai 1 Januari 2024.
Tambah Loke, inisiatif tersebut mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik Covid-19 serta kekangan dihadapi rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air.
“Kedua-dua inisiatif ini akan dikuatkuasakan pada 8 Mei di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja,” katanya.
Loke menambah bahawa inisiatif itu hanya terpakai kepada warganegara Malaysia, dan bukan kepada warga asing yang memegang pas khas seperti kad MyKAS.
Ujarnya lagi, mereka yang ingin memperbaharui LMM juga perlu bebas daripada senarai hitam Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiada sebarang sekatan sedia ada yang dikenakan oleh JPJ, dan bebas daripada sebarang penggantungan kerana sabitan atau perintah mahkamah.
Oleh Mohd Neenatul Aizal