Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Lelucon
  • WBS

Lelucon

Utusan Sarawak 7 hours ago

KEGELAPAN yang aku alami ini terasa mengambil masa yang sangat lama. Namun, bau lavender itu sangat menyamankan. Dalam keadaan penuh zulmat ini, aku diselimuti perasaan yang sangat bahagia saat tubuhku dibelai-belai.

Aku berasa selesa olehnya. Walaupun sentuhan itu rasanya agak kesat, belaian itu sentiasa membahagiakan. Pada mulanya aku rasa terkejut. Setelah sekian lama, kurasakan belaian itu menenangkan diriku yang masih sarat dengan pelbagai persoalan yang masih belum terjawab.

Di sebalik kebahagiaan itu, persoalan-persoalan awal tadi tetap berlegar-legar di mindaku. Sekelilingku masih lagi dikerumuni tubuh kecil yang lain. Bergerak-gerak, menindih dan menolakku.

Kehadiran mereka tidak menyesakkan, bahkan memberikan kehangatan yang aku perlukan untuk tidur lena. Dalam kegelapan dan ketidaktentuan, kami saling memerlukan. Namun, aku rasa selamat di sini.

***

Beberapa langkah menuju ke pintu bilik, langkah Shahril terhenti.  Pintu biliknya kelihatan terbuka sedikit. Dia cuba mengimbas kembali sama ada pintu itu ditutup rapat ataupun tidak semasa dia keluar tadi. Malas untuk membebankan fikiran, dia mengabaikan sahaja persoalan itu.

Dia terus menghempaskan badan ke katil. Suhu dingin malam itu membuatkan dia mudah terbuai lena. Namun, belum sempat dia hanyut sepenuhnya ke alam mimpi, bunyi suatu hentakan di lantai itu mengejutkannya.

Dia bingkas bangun, cuba menangkap bunyi itu dalam kegelapan. Anak matanya dikecilkan untuk memicing keadaan sekeliling. Mencari punca bunyi tersebut tetapi sia-sia sahaja kerana bilik itu terlalu gelita.

Tangannya meraba-raba tepi katil mencari telefon bimbit, lalu menyalakan lampu sesegera mungkin.

Cahaya telefon menyuluh ke arah satu sudut.

“Eli, engkau rupanya. Kau buat apa di situ?” tanya Shahril, walaupun dia tahu kucing itu tidak akan menjawab.

Shahril mara menuju ke almari bajunya. Tempat asal Eli sebelum kucing itu melompat turun. Pintu almari itu ternganga sedikit. Hatinya mula tidak sedap. Dia menjenguk ke dalam almari.

Serta-merta matanya terbeliak. Shahril lekas-lekas memetik suis lampu bilik. Cahaya terang mendedahkan insiden yang berlaku di dalam almarinya. Sah, almarinya sudah menjadi ‘hospital bersalin’ untuk Eli dan anak-anaknya.

Lebih sadis apabila kucing itu bersalin di atas baju putih kain kapas kegemarannya yang dipakai untuk bersolat.

“Bertuah punya kucing!” Shahril menggeleng kepala, separuh marah, separuh tidak percaya.

 Nasib baik darah pada badan anak-anak kucing itu sudah kering, mungkin sudah dijilat bersih oleh Eli. Namun, tompok-tompok darah merah pekat masih jelas mencorak baju putih kesayangannya.

Walaupun almarinya dipenuhi tompok-tompok darah berserta kucing comel yang masih tertutup matanya, almari itu tetap kekal wangi.

Mujur dia selalu menggantungkan uncang wangian lavender pada bahagian atas almari itu. Jika tidak, sudah pasti bau hanyir darah akan menguasai segenap ruang almari.

Perasaan Shahril bercampur-baur. Hendak marah melihat bajunya bertukar corak atau hendak ketawa melihat kecomelan wajah-wajah kecil itu?

Memandang tiga nyawa baharu yang menggeliat comel dengan mata yang tertutup rapat, membuatkan hati tercuit untuk memelihara.

Sejak detik itu, Shahril tahu rutin hidupnya pasti akan berubah.

***

Cahaya. Menusuk mataku saat kali pertama kelopak mataku sudah mampu terbuka.  Aku mula melihat kelibat yang sering menjagaku sepenuh hati. Kulihat susuk tubuhnya yang kelihatan penat dan tua.

Namun, tetap gagah memelihara kami adik-beradik. Membelai dan menyusukan kami tanpa mengira waktu.

Dan aku mula perasan bauan lavender yang muncul sejak kelahiranku dulu, sudah tiada lagi. Kini, aku hanya melihat satu ruang yang terbentang luas. Aku kini mendiami sebuah kotak beralaskan kain di ruang tamu. Terasa selesa dan mendamaikan.

***

“Shah, comel betul bah bulus-bulus kau ni!” pekat loghat Sabah jirannya rumah sebelahnya, menyapa gegendang telinga. Sejak ‘tragedi’ tempoh hari, Farah yang banyak membantu Shahril menguruskan kucing itu. Gadis itu arif dalam selok-belok penjagaan kucing.

“Kau cuba tengok anak kucing ni. Lucu betul muka dia. Geram pula aku tengok,” kata Farah sambil tangannya lincah menggomol tubuh anak  kucing berbulu hitam coklat itu. Warna bulunya unik.

Hitam bercampur coklat, persis warna biji kopi panggang. Ditambah pula dengan tompok berpusar di muka, wajah anak kucing itu kelihatan sentiasa terpinga-pinga dan melucukan.

“Lelucon. Aku nak namakan dia Lelucon. Sepadan dengan rupanya,” putus Shahril tiba-tiba. Nama itu terlintas di fikiran saat melihat gelagat haiwan itu.

“Wah, pandai kau bagi nama! Ngam pula dengan muka dia,” sokong Farah, bersetuju dengan pilihan nama yang unik anak kucing itu.

***

Aku berguling ke sana dan ke sini. Tenagaku seakan-akan tidak pernah padam. Kadang-kadang, aku cuba untuk memanjat dinding kotak yang menjadi teratak kami ini. Aku sedar, setiap gerak-geriku sering menjadi tontonan manusia yang ambil berat tentang kami.

Aku sering diuruskan oleh Farah. Setiap hari, dia pasti akan datang menjenguk. Dia gemar membelai-belai buluku, lalu menggeselkan pipinya ke badanku.

Ah, alangkah bertuahnya aku! Kecil-kecil lagi sudah disayangi sedemikian rupa. Namun, dalam rasa bahagia ini, aku rasa tidak sedap hati dengan jelingan mata seseorang.

***

Cengkerik bersahut-sahutan, berselang dengan katak berkuak-kuak memecah hening malam. Di satu sudut samar halaman rumah, derap kaki disenyapkan agar tiada siapa yang menyedari kelibatnya. Malam yang pekat memudahkan lagi urusan rahsianya. Urusan yang sarat dengan niat jahat.

 “Aku rasa, tempat ini sangat sesuai untuk aku letak benda ni,” bisiknya sambil menyeringai seorang diri.

Ketulan-ketulan bulat berwarna putih itu diletakkan dengan cermat di setiap penjuru tiang rumah. Tempat yang strategik, mudah untuk dihidu dan dijejaki.

“Baru padan muka engkau! Rosakkan lagi barang aku!”

Dendam kesumat yang terbuku kini terluah jua. Hatinya puas.  Biar lenyap segala gangguan yang menyemakkan pandangannya selama ini.

***

Petang itu, terasa damai sekali. Cuaca mendung membawa angin petang yang bertiup lembut, menyapa bulu-bulu halusku. Aku menuju ke rumah sebelah. Rumput-rumput menghijau sungguh menyamankan tapak kakiku.

Sekali-sekala, aku mencakar-cakar pangkin kayu yang menempatkan pasu bunga di halaman rumah. Aku berjalan dan terus berjalan, menghidu-hidu untuk meneroka sesuatu yang baharu.

 Apabila sampai di bawah rumah, mataku menangkap sesuatu. Objek bulat kecil yang berwarna putih. Wangi sungguh baunya. Tajam, tetapi memikat. Aku berpusing-pusing mengelilingi objek itu, rasa ingin tahu semakin membuak-buak.

Tanpa berfikir panjang, aku menjilat-jilat objek bulat itu dengan penuh berselera. Satu, dua, tiga, empat, lima. Selepas lima saat, kurasakan pandanganku kabur. Ototku mengeras. Tanpa kerelaanku, badanku terhentak kuat ke tanah.

Gelap.

***

“Lelucon!!!”

Jeritan Shahril bergema, memecah kesunyian petang. Lelaki itu meluru ke arah tubuh kaku kucingnya yang terbaring di tanah. Zaidil dan Farah turut menyusul di belakang.

“Farah, apa dah jadi ni?” suara Shahril kedengaran panik, nafasnya turun naik. Tangannya menggeletar saat cuba menyentuh tubuh Lelucon yang kejang. Mulut anak kucing itu berbuih putih.

“Alamak, kenapa kucing kau sawan? Aduh, Lelucon, kau buat apa tadi?”  Farah menekup mulut, matanya membulat melihat keadaan tragis itu.

***

Pandanganku berbinar-binar. Cahaya putih terang menyilaukan  mata. Asing sungguh tempat ini. Aromanya juga agak pelik. Bau ubat yang tajam, bukan lagi bau lavender yang menenangkan.

Seorang wanita berkaca mata dan memakai pelitup muka sedang memegang tubuhku. Aku cuba meronta tetapi tenagaku hilang entah ke mana.

Aku hanya terkulai layu, tanpa mampu melawan pegangan orang asing ini. Ingatanku berputar ligat, cuba mengimbas kembali asbab aku terlantar lesu di sini.

Ah, ketulan putih itu memang membawa sial!

Wanita itu, yang juga merupakan seorang doktor memegang kuat picagari berjarum halus. Tusukan jarum halus itu menyengat kulitku. Sakit. Namun, tubuhku masih terasa melayang-layang, pandanganku masih kabur.

“Saraf dia rosak teruk, Encik Shahril, Racun ubat gegat itu, untuk kucing sekecil ini, kesannya akan kekal berpanjangan. Saya khuatir sawan ini akan berulang.”

Walaupun pandanganku kabur, aku dapat mendengar butir bicara itu. Aku tidak faham sepenuhnya istilah manusia, tetapi aku faham getaran suara itu. Sawan.

Rosak. Perkataan-perkataan itu sangat berat maksudnya. Hanya disebabkan objek kecil berwarna putih itu, hidupku kini berubah. Nasi sudah menjadi bubur.

Aku memandang wajah Shahril. Sugul. Mungkin memikirkan nasibku yang sudah ‘cacat’ ini. Comel di luaran, namun sudah rosak dalamannya. Adakah dia akan membuangku ke tempat lain?

Sangkaanku meleset. Shahril mengangkat sangkarku dengan lembut. Kami melangkah keluar dari tempat berbau ubat itu menuju ke kereta.

Sebaik sahaja pintu kereta dibuka, Farah menyambutku dengan mata berkaca. Aku dipeluk dan dicium dengan penuh kasih sayang.

“Lelucon, kenapa kau nakal sangat jilat ubat gegat itu?” soal Farah. Sayu sungguh nadanya itu.

“Doktor kata sarafnya rosak,” terang Shahril perlahan kepada Farah, sambil matanya memandang kosong ke arah jalan raya. “ Racun tu kuat sangat. Mungkin sawan dia akan datang lagi. Lepas ini, kita kena bagi ubat ikut jadual. Kau tolong ingatkan aku ya, Farah.”

Zaidil di kerusi pemandu hanya diam membatu.

Mendengar perbualan itu, aku sedar satu perkara. Hendak menyesal sudah tidak berguna. Mungkin inilah ujian yang perlu aku tempuhi. Walaupun tubuhku sakit tidak tertahan, aku berazam untuk terus hidup.

Demi tuan yang sentiasa setia menemaniku, dalam susah dan senang. Aku akan terus mempamerkan wajahku yang comel dan lucu ini. Demi mereka.

***

Kehidupan selepas itu menjadi sebuah penyeksaan yang bersulam kasih sayang. Sudah menjadi kebiasaan untuk Shahril meluangkan masa di luar rumah pada waktu petang, duduk di bangku kayu sambil menghirup kopi yang kian sejuk.

Matanya tidak lepas daripada memerhatikan Lelucon. Kucing malang itu kini berada di atas ribaan Farah. Nafasnya turun naik, kepenatan. Bukan penat kerana puas berlari, tetapi penat kerana cuba mengawal kaki yang tidak lagi mengikut arahan otaknya. 

Tadi, Lelucon cuba untuk mengejar rama-rama, tetapi baru dua tiga langkah, kakinya tersandung dan dia tergolek. Farah mengusap kepala Lelucon dengan penuh kasih sayang. Sehingga terlena kucing itu dibuatnya.

“Shah, macam mana Si Lelucon sekarang? Aku tengok makin susut badan dia,” tanya Farah membuka bicara.

Shahril mengeluh berat. Cawan kopi di tangan dipusing-pusingkan.

“Kalau dahulu sawan Lelucon biasanya datang dalam seminggu sekali, sekarang sudah semakin kritikal. Semalam saja, tiga kali dia sawan. Risau aku dibuatnya,” luah Shahril. Suaranya serak, menahan rasa tidak berdaya.

“Kau bagi ubat ikut jadual yang ditetapkan?” Shahril mengangguk lemah, kerutan seribu jelas terpampang di dahi. Bingung dan buntu mengenangkan nasib kesayangannya yang comel itu, yang kini hanya menunggu masa.

***

Malam itu, kulihat pintu bilik Zaidil terbuka sedikit. Aku menjenguk kepalaku di muka pintu. Kelihatan Zaidil sedang leka bermain permainan video kegemarannya sambil telinga ditebat fon kepala berwarna hitam.

Kehadiranku di situ mungkin tidak disedari olehnya. Sejujurnya, aku jarang berkunjung ke sini. Mungkin kerana pintu bilik ini yang sentiasa tertutup rapat, seolah-olah tidak mengalu-alukan kehadiran tetamu selain pemiliknya.

Lantas aku menyusup di bawah katil. Ah, sejuknya dan nyaman di sini. Aku melabuhkan tubuhku di situ. Menjilat-jilat tubuhku. Keasyikanku bersantai di situ terganggu.

Aku tertarik melihat plastik hitam yang terletak di penjuru bawah katil itu. Plastik itu terbuka sedikit. Bau yang keluar dari plastik itu sekelip mata menimbulkan trauma kisah lalu.

Mengapa, Zaidil? Mengapa?

***

Kekejangan otot itu semakin hari semakin kuat. Aku seperti sudah kehilangan kudrat untuk bertahan. Namun tetap gagah menempuhnya.

Malam itu, seperti malam yang kebiasaannya. Shahril duduk di meja kerjanya, bermain-main dengan tetikus dan papan kekuncinya. Zaidil di ruang tamu menonton drama sensasi kegemarannya.

Tiba-tiba, tubuhku terasa panas sekali. Terasa kekejangan yang amat sangat. Badanku bergolek ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri tanpa kemahuanku.

Sakitnya bukan kepalang. Hentakkan di lantai kayu itu membuatkan kesakitan semakin parah.

Kali ini, masa terasa berdetik dengan lambat sekali. Terasa sangat lama. Sawan ini tidak mahu menghentikan ‘tariannya’ yang sebentar itu seperti biasa. Berpanjangan dan berterusan. Kali ini, aku tahu bahawa masanya sudah tiba.

***

Belasungkawa. Sesungguhnya mati itu pasti. Shahril menerima pemergian Lelucon dengan penuh keredaan.

Farah mengusap-usap muka kucing malang itu. Tetap comel dan lucu walaupun sudah tidak bernyawa lagi. Tidak perlu lagi menanggung derita.

“Comel betul kau ni, Con. Semoga kau terus comel sampai bila-bila. Aku pasti akan merindui kamu,” ucapan terakhir Farah untuk Lelucon. Shahril cuba menahan tangisnya. Kehilangan yang memberikan kesan kepadanya.

Walaupun hanya seekor kucing yang lahir di dalam almari bajunya. Perlahan-lahan Shahril berjalan mengambil cangkul yang tersandar di sebatang pokok.

Saat cangkul mula merobok-robek tanah, terdengar esakan tangis Farah meratapi kehilangan kucing malang itu. Kucing berwajah lucu dan comel itu, merupakan lambang ketabahan yang sentiasa akan dikenang sepanjang masa.

Walaupun menanggung kesakitan yang tidak dapat diubati, tetap jua mempamerkan wajah leluconnya itu. Mengubati kegusaran hati tuannya.

Tubuh kecil yang telah dibungkus kain putih itu diletakkan dengan cermat ke dalam lubang yang sudah digali. Kain putih yang suatu masa dahulu pernah menjadi penyambut kehadirannya ke dunia, kini mengiringinya di alam nan abadi.

Setangkai pokok bunga dicucuk di sisi kuburan itu sebagai tanda kenangan yang lestari di kotak minda.

Oleh Raja Nazran Shah

Continue Reading

Previous: Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.