

KUCHING: Seorang lelaki warga emas terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya kendiri membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Stutong menghala ke BDC di sini, malam ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.36 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan itu, jentera bomba tiba di lokasi pada 7.50 malam dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 70 tahun. Mangsa didapati tidak tersepit dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum menyerahkannya kepada pihak polis yang berada di lokasi untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.
Operasi dikawal sepenuhnya pada 8.00 malam dan tamat pada 8.26 malam selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat, sebelum beredar kembali ke balai.
Seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan menggunakan sebuah jentera jenis FRT, diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Said Muhammad Imran Sahul Hamid.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Oleh Shikin Mahmud