SARIKEI: Warga emas yang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Pan Borneo, Jakar Sarikei pagi tadi telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Supt Aswandy Anis berkata mangsa yang dikenali sebagai Wong Lok Ung, 65, meninggal dunia sewaktu mendapat rawatan di Hospital Sarikei.
Mangsa berasal dari Sarikei yang memandu kereta Perodua Kembara telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.
Kemalangan itu melibatkan kenderaan jenis Perodua Kembara dan dua Toyota Hilux.
Aswandy berkata pihak polis menerima maklumat berlaku kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan pada kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
“Kemalangan berlaku di Kilometer 435, Jalan Betong/Sarikei/Meradong.
“Siasatan awal mendapati kenderaan Hilux yang dipandu lelaki berusia 57 tahun dari Bintulu menuju ke Betong telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Kembara yang dipandu lelaki berusia 65 tahun (mangsa) dari Jakar menuju ke Jalan Jongkong Sarikei.
“Toyota Hilux yang mengekori Perodua Kembara telah melanggar belakang Perodua Kembara tersebut,” katanya dalam kenyataan media petang ini.
Beliau berkata kedua-dua pemandu kenderaan Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Mustaqim Idris di talian 0104427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati semasa memandu pada musim perayaan bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.