MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 50 tahun dan 24 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Miri selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan merogol anak kandungnya sendiri.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan rogol sumbang mahram mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan sebanyak RM5,000 kepada mangsa, sekiranya gagal berbuat demikian, tertuduh akan dikenakan hukuman penjara tambahan selama enam bulan.
Siasatan mendapati mangsa yang kini berusia 21 tahun telah menjadi mangsa perbuatan terkutuk itu sejak berusia sembilan tahun.
Tertuduh didapati melakukan perbuatan berkenaan berulang kali dengan menggunakan ugutan dan kekerasan bagi memastikan mangsa tidak melawan atau mendedahkan kejadian yang dialaminya.
Menurut siasatan, mangsa pernah memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarganya ketika masih bersekolah.
Bagaimanapun, laporan polis tidak dapat dibuat pada ketika itu berikutan ugutan dan kekerasan yang dilakukan tertuduh terhadap ahli keluarga mangsa.
Mangsa turut dipaksa berhenti sekolah ketika berada di Tingkatan Tiga dan terus hidup dalam ketakutan sepanjang berada di bawah kawalan tertuduh
Pada 5 Jun 2026, kira-kira 8.00 malam, mangsa akhirnya berjaya melarikan diri dari kediamannya sebelum mendapatkan bantuan daripada Tuai Rumah. Mangsa kemudian dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.
Bertindak atas laporan tersebut, polis menjalankan siasatan sehingga berjaya menahan tertuduh sebelum mendakwanya di mahkamah.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius semua bentuk jenayah seksual, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan ahli keluarga sendiri.
Menurut beliau, perbuatan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah meninggalkan kesan trauma yang mendalam terhadap mangsa.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak berdiam diri sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlakunya penderaan, keganasan rumah tangga atau jenayah seksual.
“Masyarakat digesa tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya tindakan segera dapat diambil bagi menyelamatkan mangsa serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Miri atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kerjasama masyarakat amat dihargai dalam usaha memastikan keselamatan komuniti serta kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara.
Oleh Adum Liu





