KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki tempatan didapati positif memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan di Jalan La Promenade, malam tadi hingga awal pagi tadi.
Operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan bermula 11.00 malam tadi hingga 3.30 pagi tadi.
Sepanjang operasi, sebanyak 81 kenderaan dan 90 individu diperiksa, manakala dua individu menjalani ujian saringan alkohol (SD2+).

Hasil ujian mendapati seorang lelaki tempatan positif memandu di bawah pengaruh alkohol dan tindakan diambil terhadapnya mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan sebanyak 21 saman PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Polis memaklumkan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membendung pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol kerana keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama.




