
MUKAH: Seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun ditemukan meninggal dunia di kawasan taman permainan kanak-kanak di Dataran Pehin Setia Raja pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam yang sedang bersenam kira-kira 8.00 pagi.
“Sejurus menerima maklumat, sepasukan polis telah bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, siasatan awal tidak menemukan sebarang kesan pergelutan, perbuatan khianat atau unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.
Katanya, pihak perubatan dari Hospital Mukah yang turut berada di lokasi telah mengesahkan kematian mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Abdul Rahman Maerrad di talian 013-8029577 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Oleh Tarani Lanting