SIBU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sibu hari ini atas satu pertuduhan cubaan membunuh, dalam satu kejadian tembakan di Jalan Wong King Hua pada 1 Januari 2024.
Hakim Musyiri Peet yang mendengar pengakuan tidak bersalah tertuduh, membenarkan tertuduh berusia 34 tahun dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan RM8,000 dalam bentuk deposit, dengan dua orang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis sebulan sekali, selain menetapkan 6 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan wang ganjaran kepada seorang lelaki berusia 26 tahun bagi menjayakan perbuatan melepaskan tembakan menggunakan senjata api ke arah mangsa yang berumur 31 tahun, dengan niat untuk membunuh mangsa.
Akibat perbuatan tersebut, mangsa mengalami luka tembakan pada kedua-dua bahagian bawah anggota badan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Januari 2024, kira-kira 5.41 petang berhampiran sebuah premis di Jalan Wong King Huo, suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Seksyen 307 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, atau jika kecederaan parah berlaku, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry sementara tertuduh diwakili peguam Boston Ho.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, tiga lelaki cedera selepas ditembak semasa minum bersama beberapa rakan di sebuah kedai kopi di Jalan Wong King Huo pada 1 Januari 2024.
Dalam kejadian kira-kira 5.00 petang itu, dipercayai dilakukan dua lelaki yang tidak dikenali.
Difahamkan, kedua-dua suspek datang dengan menaiki motosikal sebelum melepaskan tembakan ke arah kumpulan lelaki berkenaan lalu melarikan diri.
Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki.
Mereka kemudian dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta untuk rawatan lanjut.
Oleh Akun Giman




