Lelaki maut terjatuh ke sungai di Serian

Facebook
WhatsApp
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian berada di lokasi kejadian seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam sungai di Jalan Muara Mongkos, awal pagi tadi. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

SERIAN: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai dalam satu kejadian awal pagi di Jalan Muara Mongkos, di sini, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Sarawak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 3.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi.

Menurut jurucakap JBPM, jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada 4.44 pagi, kira-kira 38 kilometer dari balai, dan mendapati keadaan di lokasi telah terkawal.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan sebelum melanggar palang besi jambatan lalu terjatuh ke dalam sungai. Mangsa telah ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa, 22, dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir di lokasi.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.40 pagi dan tiada operasi menyelamat dijalankan memandangkan mangsa telah ditemui oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

Seramai enam anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan satu jentera FRT dan satu EMRS.