
SIBU: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Sibu-Durin, malam Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Azari Miskon berkata, dalam kejadian berlaku sekitar 11.20 malam itu, mangsa yang berumur 29 tahun menunggang motosikal dari arah Sibu Jaya menuju ke Jalan Sibu-Durin.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Hospital Sibu.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Akun Giman