BINTULU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu merempuh pokok dalam satu kemalangan kendiri di Jalan Bintulu-Tanjung Kidurong di sini pada jam 2.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, mangsa seorang warga tempatan berusia 28 tahun dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, sebelum kejadian, pemandu kenderaan jenis Perodua Bezza itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Plan ke Bandar Jaya.
“Ketika berada di Jalan Bintulu-Tanjung Kidurong, pemandu hilang kawalan lalu terbabas ke kawasan pembahagi jalan sebelum melanggar pokok di lokasi kemalangan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar, bagi mengelakkan kegusaran kepada masyarakat.
“Pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Pung Ting Khang di Balai Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di 086-318304,” kata Nixon.