
MIRI: Seorang lelaki berumur 46 tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) ketika sedang berdiri di bahu Lebuh Raya Pan Borneo di Bukit Song, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, sebelum kejadian mangsa yang memandu kenderaan 4WD jenis Isuzu D-Max terbabas ke bahu jalan sebelum keluar dari kenderaan untuk menunggu bantuan.
Katanya, ketika sedang berdiri di bahu kiri jalan, mangsa dirempuh sebuah 4WD jenis Toyota Hilux (dua pintu) yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.
“Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar mangsa,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Farhan turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya, khususnya ketika melalui laluan berbukit dan licin semasa hujan di kawasan Jalan Pan Borneo Bukit Song yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.
Oleh Adum Liu