
JULAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini bagi mengesan seorang lelaki yang dipercayai lemas ketika menyelam ikan di Sungai Ensiring.
Mangsa, Michael Jantan, 50 tahun, dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti menyelam di sungai berkenaan pada pagi semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, operasi SAR dimulakan seawal 7.30 pagi ini dengan kaedah pencarian di permukaan air.
“Semalam, kami menerima panggilan kecemasan sekitar 8.30 pagi berhubung insiden ini. Pasukan segera digerakkan dan pencarian dimulakan menyusuri tebing sungai dalam radius satu kilometer dari lokasi kejadian yang dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.
Usaha hari pertama turut melibatkan enam anggota dari unit khas Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Merah, yang melakukan dua kali selaman di lokasi sekitar 6.20 petang hingga 7.49 malam, namun masih gagal menemui mangsa.
“Operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada 7.52 malam dan disambung semula pagi ini,” ujarnya.
Setakat berita ini ditulis, Michael masih belum ditemui dan usaha mencari masih diteruskan.
Oleh Earl Anek