
JULAU: Lelaki dilaporkan hilang ketika keluar menjala di Sungai Kanowit di Nanga Sebuloh, di sini, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Geoffrey Senah, 39, dilaporkan keluar menjala menggunakan perahu sekitar 7.00 pagi namun tidak pulang ke rumah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kejadian itu pada 1.50 petang hari ini.
“Pasukan mencari dan menyelamat (Carilamat) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba di Rumah Gundi, Nanga Sebuloh pada 3.07 petang sebelum operasi pencarian dijalankan bersama agensi penyelamat lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai keluar menjala di sungai berkenaan pagi semalam.
“Perahu milik mangsa ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan dipercayai hanyut di sungai berkenaan dengan barangan mangsa masih berada di dalam perahu kecuali jala yang digunakan,” katanya.
Operasi pencarian dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA) serta penduduk rumah panjang menggunakan perahu milik penduduk kampung.
“Pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan dalam radius kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai berada,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada 5.00 petang berikutan keadaan semakin gelap.
“Operasi akan disambung semula pada esok hari dengan penglibatan agensi terlibat,” katanya.