
MUNICH, Jerman: Seorang lelaki yang mencari kasutnya yang hilang secara tidak sengaja terperangkap di dalam kandang bison di Zoo Munich dan gagal keluar semula, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Apabila menyedari dirinya berada dalam keadaan sukar malam semalam, lelaki berusia 23 tahun itu menghubungi perkhidmatan kecemasan sebelum berlindung di belakang pagar elektrik sementara menunggu bantuan, menurut polis.
Pegawai polis menemukan lelaki itu di dalam kandang haiwan berkenaan dan bersama-sama kakitangan zoo, mereka berjaya mengeluarkan mangsa dengan selamat.
Insiden itu dilaporkan bermula selepas lelaki berkenaan secara tidak sengaja terbaling kasutnya melepasi pagar dan kemudian cuba untuk mendapatkannya semula, kata polis hari ini.
Lelaki itu mengalami luka calar ringan dan kecederaan di kepala sepanjang berada di dalam kandang bison berkenaan, dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Polis memaklumkan bahawa operasi menyelamat berjalan dalam keadaan tenang tanpa mengganggu kawanan bison tersebut. Kasut yang hilang itu juga berjaya ditemukan semula. – Bernama