![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/01/hukuman1-1000x338.jpg)
SIBU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan serta denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis rokok, bir, minuman keras dan mercun yang diperoleh secara haram.
Tertuduh, Ling Tiew Sing, 44, diperintah menjalani hukuman penjara sebulan itu bermula dari sabit hukuman dan sekiranya gagal membayar denda, hendaklah dipenjara tujuh hari.
Berdasarkan pertuduhan, Ling dituduh memiliki 3,386 karton pelbagai jenis rokok, 80 kotak pelbagai bir, 53 botol pelbagai minuman keras dan 202 pek pelbagai mercun yang diperolehi secara haram di sebuah rumah Lorong Rantau Panjang Jaya 3M pada 29 Ogos 2024, lebih kurang 7.40 pagi.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda sehingga RM500.
Mengikut fakta kes, pada 29 Ogos 2024, kira-kira 7.40 pagi, pengadu telah mengetuai anggota Pasukan Gerakan Am Sibu telah memeriksa sebuah kenderaan pacuan dan sebuah rumah di Lorong Rantau Panjang Jaya 3M milik tertuduh, yang disyaki tempat menyimpan barangan seludup.
Hasil pemeriksaan mereka telah menjumpai 166 karton bir, tujuh kotak rokok serta lima botol minuman keras pelbagai jenis di dalam kenderaan pacuan yang dipakirkan di hadapan rumah.
Pemeriksaan lanjut di dalam rumah telah menjumpai 3,220 karton rokok, 73 kotak bir, 48 botol minuman keras dan 202 pek mercun pelbagai jenis. Pengadu kemudian meminta tertuduh mengemukakan sebarang dokumen bagi pemilikan barangan tersebut, namun gagal.
Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati kenderaan pacuan serta rumah tersebut adalah milik tertuduh. Kesemua barangan yang dirampas itu merupakan stok untuk dijual di kedai serbaneka milik tertuduh.
Oleh Akun Giman