SIBU: Mahkamah Majistret di Kapit menjatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah memiliki dua laras Bakakok dan enam butir peluru hidup tanpa lesen.
Tertuduh, Balang Sekretary, 31, didakwa melakukan kesalahan itu pada 24 September 2024, jam lebih kurang 2.20 petang di rumah kebun di Tebing Sungai Sejambu, Song.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pada 24 September 2024, kira-kira jam 2 petang bertempat di sebuah rumah panjang Sungai Sebetong Lijau, Song, pihak polis telah membuat pemeriksaan ke rumah seorang lelaki iaitu tertuduh untuk mengesan senapang patah buatan sendiri, namun tidak menjumpai apa-apa.
Tertuduh kemudian membawa pihak polis ke sebuah rumah kebun di tebing Sungai Nanga Sejambu, Song dan menunjukkan dua laras senapang patah serta satu beg pinggang berisi enam butir peluru hidup di dalam almari kayu.
Hasil siasatan mendapati dua laras senapang patah yang dirampas adalah buatan sendiri kerana tidak mempunyai nombor siri.
Selain itu, tertuduh juga gagal mengemukakan sebarang lesen berhubung pemilikan senapang patah itu.
Kedua-dua laras senapang tersebut diwarisi oleh tertuduh daripada mendiang datuknya yang meninggal dunia pada 2021.
Adik lelaki tertuduh turut mengesahkan bahawa rumah kebun tempat barang kes dirampas adalah rumah kebun milik tertuduh.
Balang dibebas setelah membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah.
Oleh AKUN GIMAN