

SEORANG mangsa cedera ringan selepas kereta dinaikinya jatuh ke dalam gaung. Foto PGO
SONG: Seorang lelaki cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terjatuh ke dalam gaung di Jalan Temalat, Song, malam tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak hari ini, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 10.40 malam.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terjatuh ke dalam gaung. Seorang mangsa lelaki, Albrinz Juki, 34, berjaya keluar dari kenderaan itu sebelum ketibaan anggota bomba,” menurut kenyataan itu.
Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada operasi penyelamatan dijalankan.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital berdekatan bagi pemeriksaan lanjut.
Oleh Tarani Lanting